
Laporan/foto: Fasharina Kholil (Sik)
SIK, 18 Mac (Malaysiaaktif) – Seramai 250 orang pelajar sekolah rendah dan menengah daripada keluarga B40 di daerah ini memperoleh manfaat menerusi sumbangan Bantuan Awal Persekolahan 2021.
Menurut Ahli Parlimen Sik Ahmad Tarmizi Sulaiman, sumbangan ini bertujuan untuk meringankan beban ibu bapa daripada golongan ini yang terjejas pendapatan akibat pandemik COVID-19 dalam menyediakan persiapan persekolahan anak-anak untuk sesi persekolahan 2021 di samping meningkatkan semangat dan motivasi para pelajar.
“Setiap pelajar sekolah rendah menerima sebuah beg sekolah, alatan menulis serta wang tunai bernilai RM100, manakala pelajar sekolah menengah menerima dua buah tablet.
“Dalam situasi sekarang, tablet atau telefon pintar menjadi keperluan kepada pelajar bagi memudahkan mereka mengikuti kelas Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), justeru dengan sumbangan kecil ini diharapkan dapat membantu pelajar terlibat untuk mengikuti PdPR dengan lebih baik.
“Dengan peningkatan kos sara hidup yang agak membebankan, program sebegini diharapkan mampu meringankan perbelanjaan ibu bapa yang berpendapatan rendah,” katanya ketika ditemui menyampaikan sumbangan di sebuah hotel, di sini semalam.
Menurut Tarmizi, kerajaan mahu melihat anak-anak ceria serta belajar bersungguh-sungguh, sekali gus meningkatkan semangat mereka untuk belajar.
“Kita berharap agar usaha ini akan dapat memberi galakan kepada para pelajar untuk berusaha lebih gigih demi mencapai kecemerlangan sahsiah dan akademik disamping membantu keluarga keluar dari kemelut kemiskinan melalui pendidikan,” katanya.
~RJ~