
Laporan/foto: Khairul Annuar Zulkernain/FB Ketua Menteri Melaka (Alor Gajah)
MASJID TANAH, 26 April (Malaysiaaktif) –Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali telah merasmikan Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) baharu di Kampung Ujong Padang, baru-baru ini.
Sekolah berkenaan dibangunkan untuk menampung pertambahan jumlah penduduk di sekitar sini yang sebelum ini terpaksa menumpang di SRA JAIM Kuala Sungai Baru dan SRA JAIM Lubok Redan, didirikan atas tanah seluas 0.958 hektar yang diwakafkan oleh sebuah keluarga dan mula dibuka awal tahun ini.
Menurutnya Sulaiman, atas persetujuan Jabatan Agama Islam negeri, sekolah terbabit kini dinamakan SRA JAIM Haji Shamsudin, Ujong Padang bagi memberi penghormatan kepada bapa keluarga Haji Harun Shamsudin yang mewakafkan tanah warisan itu untuk dibina sekolah baharu.
“Alhamdulillah, sekolah yang dibina bermula Mac 2018 dan siap pada 2020 ini akhirnya mampu menampung pertambahan murid dengan kapasiti 420 murid melalui dua sesi pembelajaran.
“Peruntukan pembinaan sebanyak RM2.1 juta dapat memenuhi pertambahan kemasukan murid dari beberapa kampung selari dengan penambahan beberapa taman perumahan baharu di sekitar kawasan ini.
“Melalui peruntukan disalurkan kerajaan kita berjaya membina lima SRA sepanjang 2020 hingga 2021 termasuklah SRA Haji Shamsudin Ujong Padang dan selainnya SRA JAIM Ayer Paabas, Alor Gajah, SRA JAIM Permatang, Duyong; SRA JAIM Bukit Larang, Telok Mas dan SRA JAIM Air Merbau, Jasin,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Perasmian SRA JAIM Haji Shamsudin.
Hadir sama, Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Datuk Seri Abdul Rauf Yusoh serta barisan Ahli Dewan Undangan Negeri dalam Parlimen Masjid Tanah.
-FF