Skip to main content
Berita SelatanNegeri Sembilan

Peniaga Seri Menanti Sedia Terima Suntikan Vaksin

By 5 Mei 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Hamidah Md Drus (Kuala Pilah) 

KUALA PILAH, 5 Mei (Malaysiaaktif) – Majoriti peniaga di Seri Menanti menyambut baik dan bersetuju untuk menerima suntikan vaksin COVID-19.

Menurut peniaga kedai makanan dan minuman, Salasiah Ahmad, 63, beliau berterima kasih kepada kerajaan kerana memberi vaksin tersebut secara percuma dan bersedia menerima suntikan itu.

“Pendaftaran yang mudah melalui MySejahtera mahupun melalui laman sesawang membantu masyarakat mendapatkan suntikan vaksin jelas memberi tanda bahawa program vaksinasi ini bertujuaan untuk menyelamatkan rakyat keseluruhannya,” katanya yang ditemui di premis perniagaannya, di sini baru-baru ini.

Sementara itu, peniaga di lokasi sama Affendi Aziz, 56, memberitahu beliau telahpun mendaftar di aplikasi MySejahtera dan berharap akan menerima vaksin itu tidak lama lama lagi.

“Setakat ini penerimaan vaksin bagi penduduk di sekitar Seri Menanti amat menggalakkan dan maklum balas yang diterima dari rakan-rakan, mereka tidak sabar untuk menerima suntikan vaksin ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Menanti Datuk Abdul Samad Ibrahim, berkata melihat sambutan para peniaga di sekitar Seri Menanti terhadap pendaftaran vaksin memberi petanda bahawa rantaian COVID-19 dapat diputuskan.

“Para peniaga wajib mendaftarkan diri untuk suntikan vaksin ini kerana mereka sentiasa terdedah kepada pelbagai kelompok masyarakat yang hadir ke premis mereka dan kita tidak mahu sikap tidak endah mengenai vaksinasi ini akan menjejaskan perniagaan mereka serta memberi kesan kepada masyarakat setempat.

“Namun yang paling penting, dalam memastikan program pendaftaran ini berjaya ialah liputan telekomunikasi selular perlu ditambah baik kerana pendaftaran ini memerlukan akses internet yang stabil,” ujarnya ketika menghadiri program Sepakat@Komuniti anjuran Pejabat Penerangan Daerah Kuala Pilah bersama Gerakan Belia 4B dan Persatuan Penduduk Kampung Gemetir Seberang baru-baru ini.

-FF

Tinggalkan komen anda