
Laporan/foto: M Zakry Chan (Melaka)
BANDAR HILIR, 6 Mei (Malaysiaaktif) – Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Cawangan Negeri Melaka melancarkan Rakan Media SKM bagi menjalinkan hubungan strategik sebagai usaha menjadikan media sebagai rakan informatif dalam melaksanakan hebahan kepada usaha-usaha SKM bagi membangunkan koperasi yang berdaya saing yang menyumbang kepada pembangunan negara.
Menurut Pengarah SKM Cawangan Melaka Mohd Firdaus Shaari, pelancarkan ‘Kumpulan Rakan Media SKM Melaka’ melalui medium media sosial seperti WhatsApp, Telegram dan Facebook sebagai platform pembentukan perkongsian pintar yang berterusan di antara suruhanjaya dan pengamal media di negeri ini.
“Para pengamal media disaran untuk menyediakan naskah atau artikel yang dapat mencetus dan menyuntik keyakinan masyarakat terhadap gerakan koperasi sebagai penyumbang kepada pembangunan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat,” ujar beliau ketika Majlis Ramah Mesra dan Berbuka Puasa bersama Media di sebuah restoran, di sini semalam.
Pengamal Media Mohd Muhaimin Amran, berkata dengan adanya rangkaian rakan media ini sudah pasti akan memudahkan lagi infomasi tugasan wartawan untuk mendapatkan maklumat berkaitan program SKM.
“Saya berharap hubungan baik ini diperkasakan dan seharusnya diaplikasikan dan dicontohi agensi kerajaan yang lain supaya pengamal media dapat memberi liputan berita yang tepat dan sahih untuk di baca oleh masyarakat luar,” ujarnya.
Lebih 20 pengamal media hadir dalam majlis tersebut, turut sama Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Melaka Mohd Rizal Hashim.
-FF