
Laporan/foto : Siti Noorezrin (Jempol)
JEMPOL, 11 Jun (Malaysiaaktif) – Pejabat Kesihatan Daerah Jempol telah mengesahkan terdapat satu kes positif COVID-19 melibatkan pekerja di Kilang Getah Felda Palong 8.
Dalam usaha bagi mengekang penularan wabak COVID-19, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Jempol dalam satu kenyataan media petang kelmarin telah mengambil langkah-langkah progresif yang bersesuaian.
Menurut Nawal Mohamed Amin yang merupakan pengerusi jawatankuasa pengurusan bencana daerah Jempol yang baharu, pihaknya telah bersetuju untuk mengarahkan pihak kilang menutup operasi bermula dari 9 hingga 16 Jun ini.
“Pihak Pejabat Kesihatan Daerah akan mengadakan ujian saringan terhadap kontak rapat dan kita juga mengarahkan kuarantin kendiri dilaksanakan oleh pekerja kilang serta sanitasi premis akan turut dilakukan,” katanya dalam kenyataan media, kelmarin.
Dalam pada itu, semua agensi penguatkuasa diarahkan membuat pemantauan terhadap kilang terlibat berhubung pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang telah digariskan oleh kerajaan.
“Jawatankuasa memandang serius mengenai kes jangkitan COVID-19 di daerah ini justeru beliau menyeru orang awam agar memberikan maklumat sekiranya terdapat individu yang melanggar SOP yang ditetapkan dengan memaklumkan kepada pihak penguatkuasa sama ada Pejabat Kesihatan Daerah mahupun PDRM untuk tindakan lanjut.
“Orang ramai juga dinasihatkan untuk sentiasa mengamalkan kawalan kendiri dan tidak membuat sebarang penyebaran berita palsu yang boleh mendatangkan panik serta menimbulkan spekulasi,” katanya.
-FF