
Laporan/foto: Noorshazana Shaadan (Port Dickson)/Mohd Asyraf Alwi (Al-Baasith Negeri Sembilan)
PORT DICKSON, 29 Jun (Malaysiaaktif) – Seramai 50 orang penjaja di bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang berniaga di pasar tani sekitar Port Dickson menerima bantuan Kotak Rezeki Ummat semalam.
Pengerusi Persatuan Amal dan Kebajikan Al-Baasith Negeri Sembilan Khairul Nizam Khairuddin, berkata misi bantuan hari ini secara pandu lalu menfokuskan penerima daripada latar belakang peniaga kecil di pasar tani yang terjejas kerana sudah lama tiada pendapatan harian dan menanggung ahli keluarga terutamanya memiliki anak kecil.
“Kesemua penerima telah dikenal pasti mengalami kesan susulan pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mengehadkan pengoperasian pasar tani di daerah Port Dickson.
“Sehingga kini lebih 100 kotak rezeki yang berbentuk keperluan makanan asas telah diberikan secara bersasar di daerah Port Dickson sepanjang tempoh PKP 3.0,” katanya ketika ditemui selepas sesi penyerahan kotak Rezeki Ummat MyFundAction dengan kerjasama Al Baasith Negeri Sembilan dan FAMA di Medan Gerai Buah-buahan Segar Batu 4 Port Dickson, semalam.
Sementara itu, Noralesuzayzee Zakaria, 33, peniaga minuman di Pasar Tani Bandar Springhill melahirkan rasa gembira apabila menerima sumbangan kotak rezeki pada hari ini.
“Saya memang tidak mempunyai pendapatan lain selain daripada berniaga dan saya bersyukur apabila dipanggil untuk menerima sumbangan keperluan harian ini.
“Kalau sebelum PKP ini, pendapatan purata berniaga di tapak Pasar Malam Bandar Springhill, saya akan dapat dalam seratus ke dua ratus ringgit namun selepas PKP dilaksanakan memang hilang terus pendapatan saya,” ujarnya.
Projek Rezeki Ummat menfokuskan bantuan kepada golongan yang berstatus miskin dan golongan B40 untuk keluar dari kepompong kemiskinan yang kian parah akibat COVID-19.
-FF