
Laporan/foto: Azreen Ahmad (Jasin)/FB Sulaiman Md Ali
AYER KEROH, 4 Ogos (Malaysiaaktif) – Kerajaan Negeri Melaka menerima 400,000 pelitup muka dan 3,000 kit makanan daripada pelbagai agensi termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi membantu meringankan beban rakyat dalam mendepani pendemik COVID-19.
Ketua Menteri Sulaiman Md Ali, berkata pihak Kerajaan Negeri amat berbesar hati dengan sumbangan kit-kit makanan, pelitup muka dan cek wang tunai yang disumbangkan oleh agensi Kerajaan Negeri Melaka dan daripada syarikat-syarikat swasta.
“Antara agensi kerajaan yang memberi sumbangan adalah Majlis Perbandaran Alor Gajah, Majlis Perbandaran Jasin manakala sumbangan daripada syarikat-syarikat swasta adalah daripada Prestige Waves Realty Sdn. Bhd, Xinyi Glass Sdn. Bhd., Kumpulan Melaka Berhad, TAG Marine Sdn. Bhd., A’Famosa Group dan Nexgram Biomedic Sdn. Bhd.,” ujarnya ketika ditemui di Seri Bendahara, di sini semalam.
Tambah beliau, sumbangan kit makanan dan pelitup muka ini adalah salah satu inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri bertujuan untuk membantu meringankan beban rakyat yang terkesan dengan cabaran pandemik COVID-19.
“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah bermurah hati menyumbangkan kit-kit makanan dan pelitup muka ini.
“Kerajaan Negeri Melaka amat mengalu-alukan penglibatan dan sumbangan daripada pelbagai pihak dalam program menyantuni rakyat di negeri ini,” ujarnya lagi.
-FF