
Laporan/foto: Siti Zuraida (Jempol)
JEMPOL, 1 Sep (Malaysiaaktif) – Diserang hendap oleh Tentera Indonesia sebaik tiba di Batu Lintang, Sarawak antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh Lans Koperal Yaacob Ahmad, 86, sepanjang 22 tahun berkhidmat dalam unit ketenteraan.
Yaacob yang bertugas sebagai pemandu trak tentera berkata kejadian itu berlaku sekitar tahun 1960-an semasa dia memandu sebuah trak dengan membawa sepasukan anggota tentera pada waktu malam di sebuah kawasan terpencil di situ.
“Situasi menjadi tegang apabila pasukan kami diserang hendap sebelum sampai ke kem utama di Sarawak, bagaimanapun kami bernasib baik apabila tentera Gurkha datang memberikan bantuan.
“Mereka memberi jaminan keselamatan sementara kami bersiap sedia dengan senjata masing-masing sebelum bertempur,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Lonek, di sini baru-baru ini.
Dalam pada itu, Yaacob berkata meskipun sedang bertugas di Singapura ketika pengisytiharan kemerdekaan oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 31 Ogos 1957, kegembiraan itu tidak dapat digambarkan sama sekali.
“Apa yang dapat saya katakan, jerih perih untuk kemerdekaan negara daripada penjajah bukanlah satu tugas yang mudah malah perlu berkorban jiwa dan raga demi mempertahankan kedaulatan negara tercinta.
“Begitu juga dalam situasi negara dilanda pendemik COVID-19 ini, masyarakat perlu sama-sama berusaha memerangi wabak ini tanpa rasa jemu selain bersikap optimis dalam mematuhi arahan yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya lagi.
Yaacob yang mula menyertai tentera pada tahun 1955 dan bersara pada tahun 1976 sebelum itu menerima bakul rezeki Myfundaction.
-FF