Skip to main content
Berita TempatanHomeSelangor

MED Sasar Lahirkan 50 Ribu Usahawan Baru Setahun – Hatta Ramli

By 8 Oktober 2018Tiada komen2 minit bacaan
Laporan /Foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

RAWANG, 8 Okt (Malaysiaaktif) – Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) berusaha melahirkan 50 ribu setahun atau 250 ribu usahawan baru dalam tempoh lima tahun mandat yang diberikan oleh rakyat kepada Pakatan Harapan (PH).

Timbalan Menterinya, Dr Mohd Hatta Ramli, berkata sasaran tersebut tidak mustahil untuk dicapai sekiranya semua pihak memainkan peranan bersama kementerian.

“Angka tersebut tidak besar sebenarnya jika kita bahagikan mengikut negeri-negeri, kawasan parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), ianya boleh dicapai.

Dr Mohd Hatta (kiri) menurunkan tandatangan di atas Geng Card yang menawarkan potongan harga istimewa kepada pemegang kad tersebut.

Dr Mohd Hatta (kiri) menurunkan tandatangan di atas Geng Card yang menawarkan potongan harga istimewa kepada pemegang kad tersebut.

“Saya yakin sinergi antara kementerian bersama organisasi tertentu akan dapat melahirkan jumlah usahawan yang boleh membantu pembangunan usahawan di negara ini,” katanya.

Tambah Hatta, kementerian akan bertindak sebagai fasilitator agar usahawan-usahawan atau organisasi yang memayungi mereka dapat bersama agensi-agensi kerajaan yang menjadi pembiaya supaya usaha mereka dapat dijayakan.

Dr Mohd Hatta memakaikan tengkolok kepada penyanyi Izzmad Harun yang dilantik sebagai Ikon Kelab Revolusi Usahawan.

Dr Mohd Hatta memakaikan tengkolok kepada penyanyi Izzmad Harun yang dilantik sebagai Ikon Kelab Revolusi Usahawan.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kelab Revolusi Usahawan sempena Karnival Kebudayaan dan Warisan Selangor di Dataran Setia, Kuang di sini kelmarin.

Menurut beliau lagi, pendapatan usahawan baru itu pula disasarkan RM4,000 sebulan agar mereka yang meminjam dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Negara (PTPTN) dapat melunaskan hutang mereka.

“Ianya selaras dengan saranan Perdana Menteri agar peminjam-peminjam PTPTN membayar hutang mereka,” jelasnya.

Mengenai Kelab Revolusi Usahawan pula, Hatta menyambut baik usaha pertubuhan itu kerana dapat membantu usahawan mikro memasarkan produk mereka di samping membantu rakyat melalui jualan rakyat.

“Kelab ini dapat mengumpulkan 150 usahawan dan pempamer yang boleh dianggap satu kejayaan atas usaha tersebut dengan menawarkan harga yang lebih murah.

“Kementerian memang menggalakkan jualan rakyat ini, setiap minggu atau setiap hari pun tak apa kerana ia memberi peluang rakyat mendapatkan harga yang murah,” katanya.

-NAZ

Tinggalkan komen anda