Skip to main content
Berita TempatanHomeKuala LumpurWilayah Persekutuan

DanaNITA Bantu Usahawan Wanita

By 9 Mac 2017April 3rd, 2017One Comment2 minit bacaan

 

Laporan oleh : Anwar Aizuddin Abdul Wahab / Foto oleh : Noraznaliza Mohd Asri

KUALA LUMPUR, 9 Mac (Malaysiaaktif) – “Menghargai penglibatan secara aktif dalam bidang perniagaan, Majlis Amanah Rakyat (MARA) melancarkan Program Pembangunan Perniagaan Khas Untuk Usahawan Wanita dengan penyediaan dana sebanyak RM35 juta.”

Demikian menurut Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa merasmikan Seminar Pembangunan Usahawan Wanita dan Pelancaran DanaNITA, di sini hari ini.

“DanaNITA memberi fokus kepada dua elemen penting iaitu latihan dan pembiayaan khas. Kira-kira RM5 juta diperuntukkan bagi memberi latihan berbentuk motivasi dan penyediaan pelan perniagaan kepada lebih 5,000 usahawan wanita baharu.

“Selain itu, 1,250 usahawan wanita berusia 18 hingga 60 tahun layak membuat pinjaman dengan had pembiayaan sebanyak RM50 ribu melalui penyediaan dana berjumlah RM30 juta bagi tujuan memulakan dan menambah baik perniagaan,” kata Ismail Sabri.

WhatsApp Image 2017-03-09 at 3.32.03 PM

DanaNITA merupakan instrumen bantuan kewangan terbaharu khas untuk golongan usahawan wanita tempatan – Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

Tambahnya lagi, inisiatif Kerajaan ini bertujuan melahir dan membantu usahawan wanita menjadi pelapis kepada kepimpinan masa hadapan agar lebih ramai golongan ini yang berjaya, berdaya tahan, maju dan berdaya saing.

“Bagaimanapun, usahawan perlu lebih kreatif dalam membentuk produk baharu dibantu dengan pengurusan kewangan yang cekap, teratur, pembungkusan dan persembahan produk yang menarik agar bukan sahaja dapat bersaing dalam pasaran tempatan tetapi juga mampu dijual di luar negara,” ujar Ismail Sabri.

Beliau juga berharap dengan pelancaran dana ini dibantu dengan 500 projek premis perniagaan dengan lebih 7,000 ruang niaga di seluruh negara meliputi bangunan dan arked MARA dapat membantu usahawan baharu dan sedia ada tidak kira usahawan atas talian atau berpremis untuk berniaga.

Turut hadir di majlis ialah Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Alexander Nanta Linggi dan Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Ahmad.

 

-MSM

One Comment

Tinggalkan komen anda