Skip to main content
Berita TempatanSabah

Pratama Family Perjuang Seni Tari Malaysia Di Jerman

By 13 April 2017Tiada komen3 minit bacaan

Laporan: Muhammad Khairul Azad Yunus / Foto: Vicky Sylvester Matanjang (Sabah)

KOTA KINABALU, 13 Apr (Malaysiaktif) – Perjuangan Pratama Family dalam bidang seni tari memasuki fasa baharu apabila bakal mewakili negara di Dance World Cup 2017 di Offenburg, Jerman pada 23 Jun ini.

Menurut pengasasnya, Achaii Pratama, 24, kumpulan tarian ini mulanya seramai 10 orang ahli keluarga terdekat pada 2013 penubuhannya.

Achaii Pratama

Achaii Pratama

“Hari ini Pratama Family sudah menghimpunkan seramai 88 ahli termasuk 40 orang yang masih aktif menari hingga hari ini.

Penglibatan serius kelab ini dalam dunia seni tari bermula setelah menjadi naib johan dalamPertandingan Lantai Cilik Peringkat Kebangsaan pada 2013.

Katanya, dia akan terus berusaha membina empayar kegemilangan kelab ini dengan melakukan promosi ke sekolah-sekolah di sekitar Kota Kinabalu seperti Sekolah Maktab Sabah dan Sekolah Tinggi Kota Kinabalu untuk mencari potensi bakat penari kalangan pelajar.

Achaii yang bergiat aktif sejak berusia lapan tahun kini mula beralih menjadi koreografer kelab terbabit.

Hari ini, Pratama Family berjaya melebarkan sayapnya ke Semenanjung, apabila mempunyai ahli-ahli cilik dari Sekolah Kebangsaan Convent Bukit Nenas (CBN) dan Sekolah kebangsaan Setiawangsa, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Jelasnya, kegemilangan yang dikecapi hari ini bukan sekadar mempunyai ahli yang ramai, tetapi turut seiring dengan pencapaian yang dilakar antaranya tempat ketiga Pertandingan Lantai Cilik Peringkat Kebangsaan 2015, tempat keempat Festival Igal Antarabangsa, kemenangan melalui kategori tarian solobagi pertandingan dalam dan luar negara.

“Selain itu, kami turut membuat persembahan di hadapan pembesar negara seperti Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V pada 2014 dan sambutan Hari Malaysia tahun lalu di Dewan Undangan Negeri Sabah yang dihadiri Perdana Menteri,” ujarnya.

Mengulas kejayaan layak beraksi di Dance World Cup 2017, anak muda asal Tuaran yang menetap di Kota Kinabalu itu menerima khabar gembira dari Jerman pada Mac tahun ini berikutan melepasi markah kelayakan penyertaan iaitu 70 peratus dengan memperoleh markah sebanyak 76 peratus.

“Rakaman persembahan yang dihantar kepada pihak penganjur berjaya meyakinkan panel penilai sekaligus meletakkan Pratama Family sebaris dengan kumpulan-kumpulan dari 46 negara lain antaranya Sepanyol, Switzerland, Russia, Argentina, Mexico, Afrika Selatan, India dan Indonesia.

Antara persembahan tarian berkumpulan yang memukau oleh Pratama Family

Antara persembahan tarian berkumpulan yang memukau oleh Pratama Family

Tambahnya, sejak menerima perkhabaran tersebut, Pratama Family tidak tunggu lama untuk menjalani persediaan melalui sesi latihan intensif agar berada pada prestasi terbaik.

“Sebanyak 22 saingan kategori pertandingan antaranya kategori solo, duet dan berkumpulan yang juga dipersembahkan dalam pelbagai bentuk genre seperti hiphop dan street dance, moden dan kontemporari serta tarian tradisi.

Menurut Achaii, Pratama Family sedang mencari sumbangan dana bagi menampung segala perbelanjaan untuk 33 orang ahli Pratama Family sepanjang berada di Jerman nanti.

“Sehingga kini kami berjaya mengumpul sejumlah RM570 ribu daripada agensi dan jabatan kerajaan, badan korporat, ahli-ahli perniagaan dan orang perseorangan.

“Terima kasih atas segala sumbangan dan penajaan yang diterima dalam usaha membantu kami perjuangan seni tanah air ke tahap yang lebih tinggi sambil menggalakkan perkongsian ekspresi seni dengan masyarakat seluruh dunia.

“Antara Agensi dan Jabatan Kerajaan yang banyak memberikan sumbangan ialah Kementerian Pelancongan,Kebudayaan dan Alam Sekitar, Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna, Jabatan Kebudayaan  dan Kesenian Negeri (JKKN), Lembaga Kebudayaan Negeri, Jabatan Pendidikan Negeri, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Sekolah Tinggi Kota Kinabalu, Sekolah Menengah Maktab Sabah, CBN dan Sekolah Kebangsaan Setiawangsa.

Achaii (duduk tengah) bersama para penari muda  Pratama Family.

Achaii (duduk tengah) bersama para penari muda Pratama Family.

“Pratama Family bertekad ingin membalas segala sokongan dan kepercayaan yang diberikan dengan menyasarkan memperoleh 15 pingat emas dari bumi Jerman buat seluruh rakyat serta pencinta seni negara ini,” ujarnya.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Jainab Ahmad Ayid berkata, program kebudayaan dapat memaparkan usaha anak-anak generasi muda untuk mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

Menurutnya, program kebudayaan perlu diteruskan dan kesinambungannya mestilah disokong oleh semua pihak.

“Saya yakin dengan adanya komitmen sedemikian, kecemerlangan anak-anak dalam bidang seni dapat terus disuburkan dari semasa ke semasa.

“Saya optimis bahawa program sebegini mampu merangsang jiwa seni anak-anak muda untuk mengharumkan nama negara dan sekolah masing-masing,” katanya semasa merasmikan Malam Kebudayaan Pratama Family 2017, di Auditorium Jabatan Kebudayaan  dan Kesenian Negeri Sabah ?pada Sabtu.?

Pada majlis itu, Jainab turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM3?,000 untuk menambah dana Pratama Family 2017 yang akan bertanding mewakili negara di Dance World Cup 2017 Germany pada Jun tahun ini.

-SF

Tinggalkan komen anda