Skip to main content
Home

BN Sedia Lancar Agenda Pembangunan di Permatang Pauh

By 29 April 2015Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:
Oleh Ainuddin Kamarudi

PERMATANG PAUH 28 Apr – Pembangunan di kawasan Permatang Pauh bakal berubah sekiranya Barisan Nasional (BN) mengambil alih kerusi parlimen kawasan berkenaan.

Menurut Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman, antara inisiatif utama termasuk menambah jumlah katil di Hospital Seberang Jaya bagi menampung keperluan penduduk setempat.

Beliau berkata BN menyedari keperluan hospital itu, tetapi menghadapi kekangan apabila pihak pembangkang menguasai Pulau Pinang sejak 17 tahun lalu.

Zainal Abidin memberitahu pemberita demikian pada sidang media tertutup di Pusat Media Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Kolej Komuniti Seberang Jaya pada pukul 12 tengah hari Rabu.

Antara isu lain yang disentuh beliau termasuk mengenai perkembangan agenda pendidikan yang inginkan disalurkan oleh BN.

Beliau berkata BN juga berhasrat untuk membina sekolah agama, sekolah berasrama penuh dan sekolah vernakular di Permatang Pauh.

Zainal Abidin berkata kerajaan negeri memperuntukkan sumbangan di antara 10 hingga 25 peratus  kepada pembangunan pendidikan di negeri itu, tetapi penumpuan tidak menyeluruh kerana kawasan-kawasan tertentu, seperti Tasik Gelugor mendapat peruntukan yang lebih hebat.

Sehubungan itu, Zainal Abidin mengingatkan supaya pengundi tidak lagi membuat pilihan salah berdasarkan emosi hingga akhirnya mengorbankan pembangunan yang sepatutnya mereka menikmati sebagai rakyat.

Menyentuh tentang pendirian PAS, Zainal Abidin berkata beliau berasa hairan mengapa parti itu masih memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat, walaupun sudah dua kali Pilihan raya Kecil di Permatang Pauh mereka dipersendakan oleh DAP.

Beliau berkata, berdasarkan apa yang berlaku PAS tiada alasan untuk menolak agenda kebaikan bersama yang mampu dibawa oleh BN.

Mengenai calon pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah, Zainal Abidin berkata beliau tidak layak menjadi Ahli Parlimen kerana  sepatutnya menumpukan perhatian penuh kepada kawasan Kajang yang juga dikuasai beliau.

Sementara itu, Zainal Abidin juga memaklumkan bahawa Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengumumkan manifesto ‘Aku Janji” di ‘Command Centre’ BN, Bandar Baru Perda pada pukul 1 tengah hari esok.

– Malaysiaaktif

Tinggalkan komen anda