PERMATANG PAUH 24 APR — Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Datuk Ibrahim Abdul Rahman pada Jumaat memberikan rasional dan penjelasan terperinci mengenai usaha penyampaian maklumat kepada rakyat.
Menurut beliau sepanjang beberapa bulan tahun ini sahaja JaPen telah mengadakan komunikasi bersemuka yang merangkumi sekurang-kurangnya 20 ribu sesi ceramah khusus bagi pemahaman rakyat.
Bagaimana pun, berpaut kepada realiti, Ibrahim akur bahawa pada peringkat awal ketidakfahaman dilihat masih menebal berhubung isu-isu utama, termasuk sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (CBP).
Beliau menyentuh masalah yang berlaku apabila terdapat para peniaga yang mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barangan dan perkhidmatan mereka, walaupun mereka sebenarnya tidak berdaftar untuk cukai berkenaan.
Beliau berkata apabila lebih banyak operasi penguatkuasaan dilakukan bagi mengatasi masalah kepincangan sebegini, orang ramai dan peniaga akan dapat memahami keadaan.
Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan Ibrahim berkata Komuniti 1Malaysia (K1M) turut berada di Permatang Pauh untuk bersemuka dengan pengundi selain membantu menerangkan dasar-dasar kerajaan dan menjelaskan isu-isu berkaitan.
Beliau berkata media sosial digunakan sepenuhnya bagi membantu dalam usaha penyebaran maklumat dan mengurus persepsi terhadap sesuatu isu.
Menyentuh tentang program-program JaPen yang lain, Ibrahim berkata statistik meningkat dari semasa ke semasa.
Menurut beliau, antara program-program termasuk InfoK1M, Pertandingan Pidato Kenegaraan, Sembang Warung dan Layar Bestari.
Dalam pada itu, Ibrahim turut menyangkal dakwaan bahawa JaPen tidak lagi mengadakan inisiatif bersemuka dalam usaha menyampaikan penerangan kepada rakyat.
Beliau berkata demikian pada sidang media yang diadakan di Pusat Media PRK Permatang Pauh.
Khamis lalu Penasihat Sosio-Budaya Kerajaan Malaysia, Tan Sri Dr. Rais Yatim mendakwa lebih 2,000 pegawai JaPen tidak lagi diberi tugas penerangan bersemuka seperti dahulu.
Menurut beliau, mereka kini duduk di pejabat dan baca akhbar atau kadang-kadang memasang pembesar suara untuk orang kenamaan.
Pada Jumaat, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyatakan beliau menerima dengan terbuka teguran Rais itu.
Beliau berkata, teguran tersebut akan diambil kira dalam usaha memperbaiki mutu kerja JaPen yang berada di bawah kementeriannya.
–Malaysiaaktif