Skip to main content
Home

Penduduk Rompin Akur Walaupun CBP Dibangkit Pembangkang

By 24 April 2015Tiada komen3 minit bacaan

Biarpun Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) terus menjadi sebahagian isu utama yang dibangkitkan pembangkang untuk meraih undi bagi memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin, penduduk di
kawasan itu dilihat mula memahami dan menerima pelaksanaan cukai tersebut.

Tinjauan di Kuala Rompin dan Muadzam Shah, mendapati isu CBP hangat diperkatakan dan menjadi bualan kedai kopi masyarakat setempat.

Mengakui terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang lebih sejak 1 April lepas berikutan pelaksanaan CBP yang telah mengakibat kenaikan harga barang oleh peniaga, mereka bagaimanapun masih percaya dengan keberkesanan sistem cukai baharu itu.

Peneroka Felda Mohd Selamat Muda, 49, berkata selepas disogok dengan pelbagai berita kurang enak mengenai CBP, beliau kini lebih memahami apabila mendapat penerangan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

“KPDNKK turun di kawasan Kuala Rompin bersama jentera Barisan  Nasional bagi menerangkan mengenai GST.

Selalu dengar cerita-cerita buruk saja, tapi semalam saya dah faham kebaikannya untuk jangka masa panjang,” kata anak kelahiran Kuala Rompin itu.

Sementara itu, peniaga Nor Fadilah Mohd Razali, 36, berkata perniagaan gerai makanan yang diusahakan sejak empat tahun lepas telah diubah suai untuk menampung pelaksanaan kenaikan harga barangan berikutan CBP.

“Peniagaan saya macam biasa kerana masih menjual kuih-muih pada harga sama seperti sebelum CBP cuma saiznya sahaja kecil sedikit untuk tampung kos barang mentah yang dinaikkan pemborong.

“Ada sesetengah pelanggan merungut sebab ada peniaga lain menaikkan harga barang walaupun tidak berdaftar dengan CBP,” katanya yang tidak menafikan terdapat juga pelangganya yang merungut mengenai kuihnya yang semakin kecil.

Bagi pelajar perakaunan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) Ainatul Nabilah Ruslan, 20, beliau mula memahami mengenai cukai itu selepas menghadiri taklimat KPDNKK dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia di universitinya.

Walaupun bersetuju dengan pelaksanaan cukai itu, Ainatul Nabilah berpendapat kerajaan seharusnya melaksanakan CBP secara berperingkat bagi memastikan orang ramai terutama masyarakat di luar bandar dapat menyesuaikan diri dengan sistem cukai baharu itu.

Selain mempergiatkan lagi usaha penerangan dan taklimat mengenai CBP di semua peringkat, katanya menambah isu CBP yang sering dibangkitkan rakyat kerana kurang kefahaman mengenainya.

Sementara itu, Pegawai Unit Aduan KPDNKK Cawangan Rompin, Muhamad Hafiz Basirun berkata sejak pelaksanaan cukai itu, pihaknya hanya menerima 14 aduan mengenai CBP di Parlimen Rompin.

Aduan yang diterima melibatkan DUN Bukit Ibam dengan dua aduan, DUN Muadzam Shah (4) dan DUN Tioman (8) yang membabitkan kenaikan harga barang, kekeliruan resit pembayaran dan caj perkhidmatan kad prabayar telefon bimbit.

Mohamad Hafiz berkata pihaknya telah pun mengambil tindakan terhadap peniaga yang didapati cuba mengaut keuntungan dengan menaikkan harga tanpa mengikut peraturan.

“Kebanyakan penduduk di sini memang menerima baik pelaksanaan GST cuma bimbang peniaga yang tidak berdaftar di bawah cukai ini yang mengambil kesempatan.

“Bagaimanapun selepas banyak taklimat yang diberikan, kini mereka lebih memahami sebab dan tujuan sebenar kerajaan memperkenalkan GST ini,” katanya.

CBP yang berkuat kuasa 1 April lepas, ditetapkan pada kadar 6 peratus, merupakan sebahagian daripada program pembaharuan percukaian kerajaan bagi meningkatkan kapasiti, keberkesanan dan ketelusan pentadbiran dan pengurusan cukai.

Tinggalkan komen anda