Skip to main content
Home

Hotel,Restoran Wajib Pamer Notis Caj Perkhidmatan Mulai 1 Mei

By 24 April 2015Tiada komen2 minit bacaan

PUTRAJAYA – Hotel dan restoran diwajibkan mempamer notis caj perkhidmatan di pintu masuk premis masing-masing mulai 1 Mei seperti diwarta di bawah Perintah Kawalan Harga dan AntiPencatutan (Penandaan Caj Perkhidmatan Bagi Hotel dan Restoran) 2015.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Alias Ahmad berkata perintah baharu itu ditandatangani oleh Menteri KPDNKK Datuk Seri Hasan Malek semalam.

“Pemilik, pengurusan atau pengendali hotel atau restoran yang tidak mematuhi arahan tersebut boleh didenda tidak melebihi RM100,000 jika disabitkan kesalahan,” katanya pada sidang media berhubung pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) di sini hari ini.

Katanya pemilik, pengurus atau pengendali sesuatu hotel atau restoran yang mengenakan caj perkhidmatan harus menggunakan ungkapan “SEMUA HARGA ATAU CAJ TERTAKLUK KEPADA __ % CAJ PERKHIDMATAN” pada notis mereka.

“Sebaliknya jika harga barangan atau caj bagi perkhidmatan telah termasuk caj perkhidmatan, mereka haruslah menggunakan ungkapan “SEMUA HARGA ATAU CAJ TERMASUK __ % CAJ PERKHIDMATAN “,” katanya.

Alias berkata notis mengandungi mana-mana ungkapan itu perlu dipamerkan di pintu masuk hotel atau restoran atau di mana-mana tempat yang mudah dilihat di premis masing-masing.

Katanya ungkapan tersebut mesti ditulis dalam bahasa kebangsaan atau dalam bahasa kebangsaan dengan terjemahan dalam mana-mana bahasa lain.

“Ungkapan hendaklah ditulis dengan tangan atau dicetak dengan huruf besar dan (saiz) penghurufan tidak kurang daripada lima sentimeter,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata daripada sebanyak 152,129 premis yang diperiksa dalam Ops Catut Fasa 2 sejak pelaksanaan CBP pada 1 April lalu, tindakan yang diambil membabitkan 423 kes.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda