Skip to main content
HomeViral

Prabayar – Keputusan Kastam dan SKMM Dilihat Bercanggah

By 30 April 2015Tiada komen2 minit bacaan

PUTRAJAYA 30 Apr — Jabatan Kastam dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dilihat bercanggah mengenai isu tambah nilai prabayar dikembalikan kepada kadar asal sebelum pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), pada 1 Mei ini.

Kekeliruan itu berikutan arahan yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Jabatan Kastam,Ā Datuk Seri Khazali Ahmad kepada syarikat telekomunikasi pada pagi Rabu supaya mengembalikan harga tambah nilai kepada kadar yang asal mulai Jumaat.

Bagaimanapun, kenyataan yang dibuat oleh Pengerusi SKMM, Datuk Seri Dr HalimĀ Shafie pada hari yang sama menyifatkan pengumuman Khazali sebagai agak mustahilĀ untuk pembekal perkhidmatan berbuat demikian.

Halim berkata, SKMM meminta keputusan lanjut mengenai perkara itu hanyaĀ dibuat selepas syarikat pembekal perkhidmatan selesai membuat kajian mengenai isu berkenaan.

“Kajian itu hampir selesai dan keputusan akan dibentangkan kepada pihak berkuasa berkaitan pada minggu depan.

“Jabatan Kastam telah bersetuju mengenai kajian ini sebelum sebarang keputusan lanjut dibuat, maka adalah mustahil untuk membuat sebarang keputusan pada masa ini,” kata Halim.

Beliau merujuk kepadaĀ kajian penilaian yang dibuatĀ sama ada pelanggan memilih nilai isian semula yang lebih rendah selepas GSTĀ dikenakan atau sebaliknya.

“Sebagai contoh, isian semula RM10 akan dijual pada harga RM10.60 termasuk GSTĀ enam peratus atau pengguna boleh membayar hanya RM10 yang mengandungi nilai isian semula RM9.43 termasuk tambahan GST 57 sen,” katanya.

Halim turut menegaskan agak mustahil untuk penyedia perkhidmatanĀ melaksanakan perubahan dalam masa dua hari denganĀ kembali kepada kadar pra-GST bermula 1 Mei, seperti yang diminta.

“Masalah untuk kembali kepada kadar pra-GST adalah kerana kerumitan untuk membuat konfigurasi semula kepada sistem, bukan hanya di pihak pembekal perkhidmatan bahkan juga bagi ejen pihak ketiga seperti institusi kewangan, pembekal pembayaran elektronik, pasar raya, stesen minyak dan ejen jualan lain yang berjumlah kira-kira 30,000,” katanya.

Halim berkata, ia juga melibatkan kos yang besar bagi pihak pembekalĀ perkhidmatan dan ejen-ejen pihak ketiga selain stok baharu kad prabayar perluĀ dikeluarkan dan diagihkan ke seluruh negara.

Bagaimanapun, Khazali kekal dengan pendiriannya dengan menegaskan bahawa syarikat telekomunikasi perlu mematuhi arahan tersebut.

“Saya telah mengatakan bahawa semua syarikat telekomunikasi perlu mengembalikan harga isian semula prabayar kepada sistem ‘cukai inklusif’ yang telah digunakan sebelum (pelaksanaan) GST,” katanya.

Sebelum 1 April lalu, pengguna kad prabayar membayar enam peratus bagi Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang bermakna sebagai contoh dengan harga prabayar RM10, ia mengandungi nilai isi semula RM9.43.

Namun syarikat telekomunikasi memberikan masa tambahan kepada pengguna bagi menampung SST enam peratus, menjadikan pengguna mendapat nilai isian semula penuh RM10.

Selepas pelaksanaan GST, pengguna perlu membayar (nilai isian semula RM10 termasuk GST 60 sen) menjadikan jumlahnya RM10.60 sehingga menimbulkan kemarahan mereka terutama golongan muda.

— The Star

Tinggalkan komen anda