Skip to main content
Home

Pusat Pengundian Awal PRK Rompin Ditutup 5 Petang

By 30 April 2015Tiada komen2 minit bacaan

ROMPIN, 30 April — Proses pengundian awal bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Rompin hari ini ditutup tepat pukul 5 petang ini selepas dibuka sejak 8 pagi tadi.

Jurucakap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata dua pusat pengundian awal iaitu Dewan Seri Ibam, Skuadron 322 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Bukit Ibam dan bilik rehat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin ditutup pukul 5 petang ini

Sementara dua lagi pusat iaitu bilik maklumat Balai Polis Muadzam Shah dan bilik maklumat Balai Polis Tekek, Pulau Tioman telah ditutup pukul 2 petang tadi kerana jumlah pengundi awal yang kecil, katanya.

Katanya kesemua 15 pengundi di Balai Polis Tekek melaksanakan tanggungjawab mereka.

Setakat 4 petang, seramai 460 pengundi awal atau 84.4 peratus daripada 545 pengundi awal telah mengundi.

Proses pengundian awal itu turut disaksikan oleh ejen-ejen calon yang bertanding pada PRK berkenaan, selain pemerhati tempatan yang terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli akademik yang dilantik oleh SPR dengan kebenaran daripada pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Peti undi itu akan disimpan di IPD Rompin dan proses pengiraan akan bermula pada 4 petang pada hari pengundian, 5 Mei ini.

PRK Rompin menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Datuk Hasan Arifin dan calon PAS Nazri Ahmad bagi mengisi kekosongan kerusi itu ekoran kematian penyandangnya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis.

Jamaluddin yang juga pengerusi Pengerusi Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) meninggal dunia dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lalu.

Pada pilihan raya umum lalu, Jamaluddin mengekalkan kerusi kawasan tersebut yang disandangnya sejak 23 tahun lalu, apabila mengalahkan bekas Ketua Muslimat PAS Pusat Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi.

Sejumlah 52,744 pengundi biasa pula akan menunaikan tanggungjawab mereka pada Selasa ini.

Tinggalkan komen anda