Skip to main content
Home

Hak Pekerja Dapat Perlindungan, Sokongan Dan Layanan Adil

By 30 April 2015Tiada komen2 minit bacaan

KUALA LUMPUR, 30 April  — Kalangan pekerja memang berhak mendapat perlindungan, sokongan dan layanan adil di tempat kerja selaras dengan piawaian buruh antarabangsa.

Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong bagaimanapun berkata pekerja Malaysia kini menikmati gaji yang saksama, suasana tempat kerja yang selesa, perlindungan undang-undang buruh dan persaraan yang terjamin.

“Saya menyeru semua majikan yang mempunyai tanggungjawab sosial supaya komited untuk memperbaiki tempat kerja bagi semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama, jantina atau fahaman politik,” katanya dalam kenyataan bersempena Hari Pekerja 2015 yang akan disambut Jumaat.

Beliau berkata Hari Pekerja merupakan peluang penting untuk semua rakyat Malaysia menghargai peranan pekerja dalam ekonomi negara dan menangani isu sosio-ekonomi kontemporari yang dihadapi tenaga kerja.

“Justeru, adalah penting untuk kita mula merenung sejenak pertalian penting antara keadaan pekerja dan kemajuan sosio-ekonomi,” katanya.

Mah berkata Gerakan mempunyai hubungan rapat dengan kesatuan sekerja sejak sejarah awal penubuhan parti apabila kesemua anggota berkongsi cita-cita untuk kemajuan sosio-ekonomi.

“Kami berbangga dan menghargai perkongsian awal kami dengan kesatuan sekerja dan amat berhasrat untuk mengembalikan persaudaraan di bawah persekitaran baharu,” katanya.

Mah berkata bagi pihak Gerakan, beliau merakamkan terima kasih kepada keseluruhan tenaga pekerja atas usaha keras mereka yang begitu penting dalam membangunkan kekuatan, perwatakan dan kejayaan negara.

“Gerakan akan terus memperjuangkan hak dan pemerkasaan pekerja dan menjadi harapan kami agar negara mempunyai kumpulan tenaga kerja yang bertenaga, produktif dan sihat,” kata beliau.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai menegaskan semula usaha kerajaan untuk memperjuangkan peluang yang saksama kepada wanita di tempat kerja.

“Kerajaan percaya bahawa ekonomi dan negara boleh mendapat manfaat melalui penglibatan lebih ramai wanita dalam tenaga kerja, dan berhasrat untuk mencapai kadar penyertaan wanita dalam bidang profesional dan pengurusan kepada sekurang-kurangnya 30 peratus,” katanya dalam satu kenyataan.

Liow menggesa orang ramai, terutama generasi muda yang baru memasuki pasaran kerja, supaya tidak mengabaikan kepentingan memberi sumbangan kepada negara.

Beliau berkata usaha dan dedikasi kepada produktiviti, telah meletakkan Malaysia di kedudukan sekarang, dan dengan nilai-nilai ini juga, negara boleh mencapai wawasan untuk menjadi sebuah negara maju.

Presiden MCA itu juga memberi pujian kepada pekerja Malaysia yang membantu memacu negara hingga mencapai kejayaan seperti sekarang.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda