Skip to main content
Home

Jangan Takut Buat Perubahan Di Permatang Pauh – Zahid

By 30 April 2015Tiada komen2 minit bacaan

PERMATANG PAUH 30 Apr –Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menasihatkan pengundi Parlimen Permatang Pauh supaya tidak takut untuk membuat perubahan pada pilihan raya kecil (PRK) kawasan itu kali ini.

Pengarah Bersama Barisan Nasional (BN) bagi PRK Permatang Pauh itu berkata ini adalah masa untuk pengundi Permatang Pauh memberi peluang kepada BN untuk membawa perubahan di kawasan itu selepas 17 tahun di bawah PKR.

Beliau berkata calon BN Suhaimi Sabudin perlu diberi peluang untuk membuktikan kemampuannya dan melakar sejarah baharu di Permatang Pauh dalam tempoh tiga tahun sebelum menjelang pilihan raya umum ke-14.

“Kalau Suhaimi tidak ‘perform’ dalam tempoh tiga tahun ini, boleh tukar balik. Saya yakin Suhaimi ini orang baik.

Beliau akan melaksanakan tanggungjawabnya kepada pengundi di Permatang Pauh.

“Saya yakin beliau akan memberi perkhidmatan yang terbaik kepada penduduk disini,” katanya ketika berucap pada majlis ramah mesra dan penyampaian pingat kepada veteran ATM anjuran Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Persatuan Veteran ATM bersama Veteran ATM Permatang Pauh, di sini hari
ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata jika pengundi memberi peluang kepada Suhaimi untuk menjadi wakil rakyat di Permatang Pauh, beliau akan memastikan peruntukan lebih untuk pembangunan kawasan itu meliputi Seberang Jaya, Permatang Pasir dan Penanti.

“Contohnya di Parlimen Teluk Intan, selepas sembilan bulan BN memenangi pilihan raya kecil kawasan itu, pelbagai projek pembangunan dibawa masuk ke Teluk Intan,” katanya.

Dalam majlis itu, Ahmad Zahid turut menyampaikan Pingat Jasa Malaysia kepada 36 anggota Veteran ATM cawangan Permatang Pauh.

PRK Permatang Pauh menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Suhaimi, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR), Azman Shah Othman (Parti Rakyat Malaysia) dan Salleh Isahak (Bebas).

PRK Permatang Pauh diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon anggota Parlimen kawasan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui anggota keluarganya, sekaligus menyebabkan Anwar hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat. Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 7 Mei.

-BERNAMA

Tinggalkan komen anda