
PERMATANG PAUH, 7 Mei (Malaysiaaktif) — Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi memberi amaran keras kepada semua pihak supaya jangan berhadapan dengan polis secara provokasi.
Amarannya itu berikutan kejadian dalam mana beberapa orang anggota polis didakwa dikepung oleh lebih kurang 100 orang penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) ketika bertugas di SMK Permatang Rawa pada pukul kira-kira pukul 10.30 malam tadi.
Menurut Abdul Rahim, anggota polis terbabit adalah dari Unit Pemusnahan Bom yang sedang menjalankan tugas pemantauan saat-saat akhir di pusat mengundi berkenaan bagi memastikan proses pengundian berjalan lancar.
Beliau berkata, “Kami akan memastikan pusat mengundi selamat dan meletakkan notis sedemikian.
“Kami akan menempatkan anggota bagi mengawal kawasan tersebut hingga pukul 8 malam sebelum menyerahkan tugas kepada pihak penjaga pusat pengundi.
Abdul Rahim menyifatkan tindakan para penyokong itu sebagai provokasi kerana mereka sepatutnya faham prosedur.
Beliau berkata demikian di pusat mengundi SMK Guar Perahu pagi Khamis.
Menurut Abdul Rahim, kejadian malam tadi menyebabkan tiga buah kereta peronda polis mengalami kerosakan.
Selain itu, kejadian di dua lokasi berasingan juga dilaporkan. Kejadian tersebut berjaya ditangani polis.
Polis telah membuka siasatan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan bersabit menghalang pegawai awam menjalankan tugas, Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 427 bersabit melakukan khianat.
Abdul Rahim berkata sebanyak 12 kertas siasatan dibuka daripada sejumlah 112 laporan polis yang diterima sepanjang kempen pilihanraya.