Skip to main content
GlobalHome

Jamal Abdillah, Noah Di Konsert Amal Jamiyah Singapura

By 24 Mei 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

SINGAPURA, 23 Mei — Bintang pop Malaysia, Datuk Jamal Abdillah dan band pop rock Indonesia, Noah, menganggap peluang untuk membuat persembahan dalam konsert amal di Resort World, Sentosa malam esok sebagai penghormatan besar bagi mereka.

Jamal dan Noah, yang sebelum ini dikenali sebagai Peterpan, adalah antara artis popular lain dari Malaysia termasuk pelawak Bocey dan Jihan Muse serta penyanyi Singapura, Taufik Batisah, akan menghiburkan peminat dalam ‘Konsert Amal Tiga Negara’ itu.

Menurut Jamal, peluang yang diberi penganjur konsert, Jamiyah Singapura, merupakan penghormatan yang paling tinggi terhadapnya.

“Saya bersyukur dengan bakat yang ada ni… walaupun taklah besar mana tetapi dapat membantu pihak tertentu seperti Jamiyah untuk mengutip dana untuk membantu. Ini adalah satu anugerah yang tuhan bagi saya,” katanya kepada Bernama semasa ditemui pada sesi bertemu peminat di Courts Megastore, Tempines di sini hari Sabtu.

Peminat Jamal dan Noah berpeluang bertemu, bergambar serta mendapatkan tanda tangan pada poster mereka dalam acara yang dianjurkan Courts Megastore bersempena konsert amal tersebut. Noah, yang julung kali mengadakan persembahan di luar Indonesia selepas menukar nama kumpulan mereka, berpendapat undangan Jamiyah Singapura itu merupakan penghormatan, tambahan pula konsert itu diadakan untuk tujuan amal.

Pemain keyboard kumpulan itu, David Albert berkata Noah berbesar hati untuk membuat persembahan dan berbakti bersama dengan rakan dari Malaysia dan Singapura.

Sementara itu pengerusi penganjur konsert, Naib Presiden II Jamiyah Singapura Mohd Yunos Mohd Shariff berkata Konsert Amal 3 Negara itu bertujuan mengumpul dana untuk pelbagai tujuan kebajikan dan pendidikan masyarakat.

Jamiyah Singapura turut mendapat kerjasama Courts Singapura sebagai penaja utama konsert amal mega itu.

Tinggalkan komen anda