Skip to main content
Home

Kebijaksanaan Sultan Nazrin Tonggak Kesejahteraan Rakyat

By 6 Mei 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

KUALA KANGSAR, 6 Mei — Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berharap kebijaksanaan dan keilmuan Sultan Perak Ke-35 Sultan Nazrin Shah terus utuh seiring sifat adil, tegas dan terbuka demi kesejahteraan rakyat negeri ini.

Beliau berkata keperibadian yang ada pada Sultan Nazrin selaras dengan ciri-ciri Raja Pemerintah seperti akrab dengan ulama, tidak bermegah, mengambil berat kebajikan rakyat, memenuhi hajat dan bermuafakat.

“Setinggi mana pun melayang dan melebarkan sayap, Paduka Seri Tuanku tidak ujub atas pujian, tidak alpa atas gelaran, tetapi insaf akan nasib insan yang bernaung di bawah payung pemerintahan Tuanku. Keperihan hidup serta kedaifan rakyat, sentiasa mengetuk pintu kalbu Paduka Seri Tuanku.

“Sentuhan Ke Bawah Duli Tuanku, sentiasa dirasai dalam kalangan dhuafa, hingga kehidupan yang kelam, Alhamdulillah kembali bersinar benderang,” katanya dalam ucapan sembah tahniah sempena Istiadat Tabal Adat Sultan Perak di Istana Iskandariah di sini hari ini.

Zambry berkata mudah-mudahan dengan nasihat serta mutiara pemikiran Sultan Perak, kerajaan negeri akan melaksanakan amanah sejujur, setulus dan sedaya mungkin.

“Iltizam Patik yang menerajui pentadbiran negeri ini dan sebagai memelihara keakraban dalam berkerajaan, yang sudah terakam dalam sejarah susur galur pemerintahan Raja-Raja Melayu.

“Tuanku sebagai Raja Pemerintah dan Patik pula hamba Memanda. Sebagai Memanda, Patik akan memberikan nasihat atas ehwal yang sebenarnya, tanpa tersirat durja atau bermuka-muka, dan memberikan pandangan atas duduk perkara dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Zambry juga berharap hubungan yang terjalin tidak dicemari pengaruh negatif yang boleh merosakkan hubungan baik antara raja dan rakyat.

Dalam ucapan itu, Zambry turut menzahirkan kekaguman rakyat terhadap ketokohan dalam bidang keilmuan yang boleh dicontohi rakyat.

“Mohon patik agar hamba rakyat beroleh manfaat atas sifat Tuanku yang bijaksana dan mencintai ilmu selain turut mengharumkan nama Kesultanan negeri ini,” katanya.

Istiadat Tabal Adat pertabalan Sultan Perak Ke-35 Sultan Nazrin Shah berlangsung di Istana Iskandariah, Bukit Chandan dalam suasana penuh tradisi dan adat resam Kesultanan Melayu Perak.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda