Skip to main content
HomeViral

Muhyiddin Umum Kenaikan Elaun Pengetua, Guru Besar

By 16 Mei 2015Tiada komen1 minit bacaan

 

JITRA, KEDAH, 16 Mei (Malaysiaaktif) — Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Sabtu mengumumkan elaun pengetua sekolah menengah dinaikkan dari RM150 ke RM300, manakala elaun guru besar sekolah rendah dari RM100 ke RM200 berkuatkuasa 1 Julai 2015.

Muhyiddin berkata demikian semasa menyampaikan ucaptama dalam Majlis Perasmian Sambutan Hari Guru 2015 Peringkat Kebangsaan di Dewan Wawasan, Jitra, Kedah sebentar tadi.

Beliau berkata Sambutan Hari Guru adalah tanda pengiktirafan tertinggi negara terhadap peranan dan sumbangan para guru mendidik anak bangsa.

Menurut beliau, sifat jujur, amanah dan integriti merupakan nilai intrinsik yang perlu diterapkan kepada murid-murid agar menjadi tunjang kemajuan ekonomi.

Muhyiddin berkata, kemajuan yang dicapai negara dalam bentuk material tanpa sokongan nilai-nilai murni dan akhlak mulia tidak akan bermakna.

“Kita perlu ingat bahawa negara maju yang ingin kita bina adalah berasaskan acuan sendiri yang mana nilai dan akhlak adalah tunjangnya yang utama,” katanya.

Beliau berkata, tema sambutan Hari Guru 2015 iaitu ‘Guru: Membina Ilmu, Menyempurnakan Akhlak’ adalah tepat dengan matlamat untuk melahirkan insan yang seimbang.

Timbalan Perdana Menteri turut melahirkan keyakinan bahawa pelbagai inisiatif yang dirancang di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, dan sokongan guru-guru dalam menjayakannya, cita-cita murni untuk melahirkan insan yang berilmu pengetahuan dan berakhlak mulia akan tercapai.

Tinggalkan komen anda