KUALA LUMPUR, 13 Mei (Malaysiaaktif) — Operasi bersepadu Ops Gergaji yang dilancarkan pada Selasa masih giat diteruskan. Setakat Rabu, sebanyak 49 lokasi telah diserbu, termasuk tambahan satu lokasi, iaitu di Bakun, pada hari ini.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) petang tadi, seramai 10 orang individu juga diambil keterangan bagi membantu siasatan berhubung rasuah, aktiviti pembalakan dan penebangan hutan secara haram serta mengelak cukai oleh pemilik syarikat-syarikat pembalakan dan kilang papan di Sarawak.
Mereka yang diambil keterangan terdiri daripada pemilik kilang papan dan penyelia kilang.
Sejumlah 30 lagi akaun syarikat dan individu, termasuk akaun seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) telah dibekukan, menjadikan jumlah keseluruhan akaun yang telah dibekukan setakat ini sebanyak RM600 juta.
Dalam pada itu, hampir 1,200 lagi batang kayu balak juga telah disita termasuk 600 batang di kawasan Belaga, Bakun oleh pihak SPRM. Pada Selasa, sebanyak 500 batang balak disita.
Menurut kenyaataan media yang dihantar kepada Malaysiaaktif, siasatan lanjut akan dijalankan di bawah seksyen 17(a) dan 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 serta seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Ops Gergaji merupakan operasi bersepadu terbesar pernah dijalankan oleh SPRM dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sarawak, Polis Diraja Malaysia (PDRM), termasuk Pasukan Gerakan Am, Jabatan Perhutanan Negeri Sarawak dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Operasi yang melibatkan lebih 400 anggota dan pegawai daripada pelbagai agensi ini dianggap sangat mencabar kerana ia membabitkan serbuan di kawasan-kawasan pendalaman yang tidak mempunyai akses mudah untuk masuk kecuali dengan menggunakan helikopter dan bot.
Menurut SPRM, Ops Gergaji akan diteruskan dengan lebih menyeluruh bagi membanteras kegiatan rasuah serta pembalakan dan penebangan hutan secara haram di Sarawak.