Skip to main content
Home

Pilihanraya Kecil Parlimen Rompin: Pengundian Bermula

By 5 Mei 2015Tiada komen1 minit bacaan

 

ROMPIN 5 Mei (Malaysiaaktif) — Menurut Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), sehingga pukul 10.00 pagi tadi seramai 17,050 (31.9 peratus) orang keluar mengundi di Pilihanraya Kecil (PRK) Parlimen Rompin.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof tiba di pusat pengunduan Sekolah Kebangsaan Sungai Puteri, Kuala Rompin pada pukul 10.45 pagi untuk meninjau bilik mengundi selain meluangkan masa bertemu pengundi.

Di Kuala Rompin, pengundi kelihatan beratur di luar pusat-pusat mengundi sejak awal pagi memandangkan kerajaan negeri Pahang mengisytiharkan cuti khas sempena pilihanraya kecil ini.

PRK Parlimen Rompin menyaksikan pertandingan satu lawan satu di antara calon Barisan Nasional (BN) Datuk Hasan Arifin dan calon PAS Nazri Ahmad.

Hasan tiba di Sekolah Kebangsaan Leban Chondong pada kira-kira pukul 8.30 pagi untuk mengundi.

Sementara itu, Nazri pula mengundi di Sekolah Agama Rakyat LKTP Keratong 5.

Kerusi parlimen Rompin kosong berikutan kematian Ahli Parlimen kawasan tersebut, Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dalam nahas helikopter bersama lima yang lain pada 4 April lalu berhampiran Semenyih, Selangor.

Pada Pilihanraya Umum 2013, Jamaluddin mengekalkan kerusi apabila mengalahkan bekas ketua Wanita PAS, Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi.

Kawasan Parlimen Rompin mempunyai seramai 53, 294 pengundi terdiri daripada 52,744 pengundi biasa, 545 pengundi awal dan lima pengundi tidak hadir.

 

 

 

Tinggalkan komen anda