Skip to main content
HomeViral

Polis Akan Ambil Keterangan Daripada Azmin Ali

By 20 Mei 2015Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

GEORGE TOWN, 20 Mei (Malaysiaaktif)  — Polis Pulau Pinang akan merekodkan keterangan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali dan beberapa lagi individu bagi melengkapkan kertas siasatan berhubung kes menggelar Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dengan perkataan tidak elok dalam ceramahnya semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh baru-baru ini.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata pihaknya akan mengambil keterangan mereka dalam tempoh terdekat ini.

“Setakat ini masih lagi kekal 15 orang telah direkodkan keterangan bagi kes Menteri Besar Selangor itu dan kami akan mengambil keterangan beberapa lagi individu termasuk Mohamed Azmin untuk lengkapkan siasatan kes berkenaan.

“Saya percaya kami dapat melengkapkan kertas siasatan berkenaan dalam tempoh terdekat ini untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan dan Ikrar Bulanan Kontinjen Pulau Pinang, di sini hari ini.

Mohamed Azmin didakwa menggelar Khalid sebagai “barua UMNO” dalam ceramah semasa berkempen pada PRK Permatang Pauh, baru-baru ini.

Terdahulu pada majlis itu, Abdul Rahim turut menyampaikan Anugerah Ibu Mithali peringkat Kontinjen Pulau Pinang kepada Sarjan Surati Attan dari Balai Polis Bukit Tengah, Seberang Perai Tengah yang merupakan ibu tunggal kepada enam orang anak.

 

Tinggalkan komen anda