Skip to main content
EkonomiHomeRencana & Pendapat

RMK-11 Imbangi Pertumbuhan Negara, Kesejahteraan Rakyat

By 21 Mei 2015Tiada komen3 minit bacaan

 

Oleh Mohd Ayop Abd Razid

Rancangan Malaysia Ke-11 (2016-2020) telah pun dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat pada Khamis.

RMK-11 yang bertemakan ‘Pertumbuhan Berpaksikan Rakyat’  mempamerkan komitmen kerajaan Barisan Nasional (BN) menjayakan agenda transformasi nasional.

Ia berpaksi penekanan kepada kesejahteraan rakyat serta komitmen memastikan pertumbuhan inklusif dan mampan.

Najib dalam pembentangan itu menyebut keyakinan pertumbuhan tidak boleh diukur dengan kejayaan ekonomi semata-mata kerana kesejahteraan rakyat juga mesti diberi perhatian.

RMK11 mengandungi enam teras strategik, iaitu:

i) Memperkukuh inklusiviti ke arah masyarakat yang saksama;
ii) Meningkatkan kesejahteraan untuk semua;
iii) Mempercepat pembangunan modal insan untuk negara   maju;
iv) Menuju ke arah pertumbuhan hijau bagi meningkatkan kemapanan dan daya tahan;
v) Memperkukuh infrastruktur bagi menyokong perkembangan ekonomi; dan,
vi) Merekayasa pertumbuhan ekonomi untuk peningkatan   kemakmuran

Rakyat diutamakan

Golongan berpendapatan rendah,  gelandangan, yang tidak memiliki rumah , golongan pendapatan isi rumah bawah40 dan yang berpendapatan sederhana akan diberi perhatian menerusi RMK-11.

Justeru, inisiatif mengawal dan meringankan kos sara hidup seperti Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Klinik 1Malaysia (K1M), Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan pelbagai bentuk bantuan lain yang sudah dilaksanakan,  termasuk bantuan pinjaman kepada peniaga-peniaga kecil dan sederhana (perusahaan mikro) akan diteruskan dan ditambah.

Di bawah RMK-11 sebanyak enam buah hospital baru akan dibina. Kerajaan juga akan membina lebih banyak K1M dengan kos RM33 juta. Sistem perkhidmatan kesihatan Malaysia diiktiraf oleh WHO sebagai sistem terbaik di dunia merangkumi kemudahan kesihatan di luar bandar. Kanak-kanak, wanita, warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU) juga akan diberi perhatian. Kemudahan OKU akan dipertingkatkan termasuk peluang pekerjaan.

Menerusi RMK-11 kerajaan akan meningkatkan tenaga kerja wanita daripada 54 peratus (2014) kepada 59 peratus (2020).

Pembangunan kepada kumpulan-kumpulan terbabit akan memberi impak kepada kesejahteraan rakyat. Indeks Kesejahteraan Malaysia (IKM)  disasarkan meningkat 17 peratus setahun.

Jayakan Dasar Belia Negara

RMK-11 juga akan memberi penekanan kepada menjayakan Dasar Belia negara. Potensi akan dicapai melalui pengupayaan, pendidikan, latihan kemahiran, keusahawanan dan kesukarelawanan. 1 Malaysian Youth akan menjadi ekosistem komprehensif ke arah membangunkan belia negara ini.

Pembangunan modal insan

Pembangunan modal insan sebagai tulang belakang  pembangunan negara perlu dipertingkatkan.

Tenaga mahir negara sekarang yang hanya 25 peratus akan dipertingkatkan kepada 35 peratus menjelang 2020. Penekanan kepada pendidikan vokasional dan teknikal akan ditingkatkan. Kerajaan akan memperuntukkan RM1 bilion kepada Tabung Pembangunan Kemahiran, berbanding RM500 juta di bawah RMK-10.

Pada 2030 kerajaan menyasarkan lebih 40 peratus daripada jumlah guna tenaga negara terdiri daripada pekerja mahir berbanding sasaran 35 peratus pada 2020. Peningkatan tenaga kerja kemahiran tinggi akan berupaya melonjakkan produktiviti  negara yang disasarkan akan meningkat kepada RM92,300 pada 2020 (2015: RM77,100).
Ekonomi Malaysia Pasca 2020

RMK-11 Malaysia pasca 2020 akan kekal sebagai sebuah ekonomi terbuka dan lebih berintegrasi di peringkat serantau dan global. Ini penting supaya ekonomi Malaysia mendapat manfaat  ekonomi dunia yang lebih kukuh serta pemulihan harga komoditi dan inflasi     global yang rendah.

Sebagai negara yang mengadakan hubungan dagangan dengan dunia luar, Malaysia perlu mendapat manfaat daripada perdagangan dunia. Justeru, RMK-11 menyasarkan peningkatan kepada US$26 trilion diunjurkan pada 2020 dan US$44 trilion pada 2030.

Menerusi RMK-11, kerajaan menyasarkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK)       sebenar berkembang 5.6 peratus setahun. KDNK Malaysia akan mencecah RM2.6 trilion pada 2030, berbanding sasaran RM1.4 trilion pada 2020. KDNK per kapita pula dijangka meningkat lebih dua kali ganda kepada RM117,260 pada 2030 berbanding RM54,890 pada 2020.

Sasaran lain berkaitan pertumbuhan ekonomi termasuk Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita mencecah RM54,100 (2020); Purata pendapatan bulanan isi rumah meningkat kepada RM10,540 (2020); Inflasi kekal rendah di bawah 3.0 peratus; dan 1.5 juta pekerjaan akan diwujudkan pada tahun 2020;

Pada keseluruhan sepanjang RMK-11 dilaksanakan, pertumbuhan akan dipacu oleh sektor swasta dengan pelaburan swasta berkembang pada 9.4 peratus setahun di mana sektor pembuatan dan perkhidmatan disasarkan menyumbang lebih   daripada 75 peratus KDNK.

Kerajaan turut menyasarkan hasil berkembang 7.9 peratus setahun. Namun, pergantungan kepada hasil berkaitan minyak berkurangan kepada 15.5 peratus pada 2020. Dalam konteks inilah GST akan menyumbang pendapatan sebanyak RM31.4 bilion setahun dalam tempoh lima tahun akan datang.

Tinggalkan komen anda