Skip to main content
Home

RM75.21 Juta Untuk Bina Masjid Di Pulau Pinang Sejak 2007

By 2 Mei 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

BUKIT MERTAJAM, 2 Mei (Bernama) –– Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan sebanyak RM75.21 juta untuk membina 14 masjid di Pulau Pinang sejak 2007, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata kerajaan turut membelanjakan RM180.85 juta bagi projek dan program pembangunan keagamaan Islam dari 2008 hingga 2014.

“Peruntukan itu disalurkan bagi pelaksanaan projek-projek fizikal seperti membina atau menaik taraf surau dan masjid serta sumbangan untuk melaksanakan program keagamaan,” katanya pada majlis ramah mesra dan penyampaian sumbangan kepada pengurusan sekolah agama, masjid dan surau di Masjid Timah di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom

Muhyiddin berkata kerajaan Persekutuan memberikan perhatian yang utama kepada pembangunan dan perkembangan syiar Islam di Malaysia selaras dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

“Institusi-institusi Islam seperti Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia), Jabatan Agama Islam negeri, Majlis Agama Islam negeri dan (Lembaga) Tabung Haji ditubuhkan untuk menjaga hal ehwal agama Islam dan mengembangkan syiar Islam.

“Sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengembangkan syiar Islam, kerajaan juga menyediakan peruntukan untuk membina masjid-masjid di seluruh negara,” kata beliau.

Menurutnya kerajaan Persekutuan turut memperuntukkan RM22 juta setiap tahun untuk membayar elaun kepada 180 guru takmir, 1,400 guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA), 500 imam dan lima orang pegawai penyelaras masjid daerah di Pulau Pinang.

Selain itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata bidang pendidikan Islam formal turut memainkan peranan penting dalam keadaan dunia hari ini yang berhadapan dengan ancaman pelbagai bentuk fahaman yang menyelewang daripada ajaran Islam sebenar.

“Kemunculan kumpulan ekstremis seperti IS adalah berpunca daripada salah faham terhadap Islam. Islam tidak tertegak di atas jalan keganasan, sebaliknya Islam terbina menerusi jalan dakwah dan tarbiyyah seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah dan para sahabat baginda,” kata beliau.

Pada majlis itu, Jamil Khir menyerahkan bantuan sebanyak RM2.32 juta untuk diagihkan kepada 32 sekolah agama rakyat dan 12 sekolah agama bantuan kerajaan di negeri ini serta 42 sekolah agama rakyat KAFA, 28 masjid dan 62 surau dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda