Skip to main content
HomeViral

Semangat Kesukanan Penyokong Kelantan Dipuji

By 24 Mei 2015Tiada komen1 minit bacaan

 

KUALA LUMPUR, 24 Mei — Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memuji sikap berdisiplin dan semangat kesukanan yang dipamerkan penyokong Kelantan walaupun pasukan itu tewas 1-3 kepada pasukan Lions XII pada perlawanan akhir Piala FA 2015 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata pihaknya bangga dan memberikan pujian tinggi kepada penyokong Kelantan kerana pada perlawanan akhir kali ini, tiada insiden membabitkan tingkah laku penyokong terjadi.

“Tiada sebarang insiden seperti balingan objek, membakar mercun, bom asap atau suar berlaku. Ini menunjukkan bahawa penyokong Kelantan kini semakin matang dan memiliki tahap disiplin serta semangat kesukanan tinggi meskipun pasukan mereka tewas.

“Terima kasih juga kepada semua penyokong Kelantan dan Lions XII yang hadir kerana tidak menimbulkan sebarang kekecohan sebelum, pada atau selepas perlawanan,” katanya dalam kenyataan media.

Hamidin berkata biarpun perlawanan akhir kali ini tidak menemukan dua pasukan yang mempunyai bilangan penyokong yang sama ramai, 80,000 tiket habis dijual termasuk 3,000 keping tiket yang dibeli penyokong Lions XII.

FAM berharap sikap baik yang ditunjukkan penyokong Kelantan ini dapat diteruskan dan dicontohi penyokong-penyokong pasukan lain untuk perlawanan akhir yang akan datang atau mana-mana aksi Liga Malaysia selepas ini.

Pasukan jemputan dari Singapura itu melakar sejarah menjadi pasukan luar pertama muncul juara Piala FA sejak pertandingan berkenaan diperkenalkan pada 1990.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda