Skip to main content
Home

Sultan, Raja Permaisuri Perak Mula Istiadat Ziarah Makam

By 8 Mei 2015Tiada komen4 minit bacaan

 

KUALA KANGSAR, 8 Mei — Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim hari ini memulakan Istiadat Menziarah Makam Almarhum sultan serta pemerintah negeri Perak bersempena pertabalan baginda.

Pasangan diraja itu akan menziarahi 32 makam sultan, dua makam pemerintah dan dua batu peringatan Sultan Mansur Shah I, seusai Istiadat Tabal Adat dan Istiadat Tabal Pusaka yang berlangsung pada Rabu dan Khamis lepas.

Lokasi pertama kunjungan baginda berdua ialah Makam Tok Temong (nama asalnya Tok Perabu) di pekan Kati di sini. Tok Temong merupakan pemimpin wanita yang memerintah Temong semasa Kesultanan Sultan Muzaffar Shah I.

20150507214638 (2)

Foto: Malaysiaaktif

Tok Temong juga merupakan individu yang mempersembah Mestika (Geliga) Embun semasa pertabalan Sultan Muzaffar Shah I (Sultan Perak yang pertama pada 1528) di Tanah Abang.

Mestika Embun kini dijadikan sebahagian daripada alat kebesaran Sultan Perak yang digunakan ketika istiadat pertabalan.

Lokasi kedua ialah Makam Raja Bendahara Alang Iskandar yang juga dikenali sebagai ‘Marhum Teja’ yang terletak di Kota Bharu, Gopeng, di lokasi ini hanya Sultan Nazrin Shah yang menziarahi makam.

Seterusnya pada Ahad (10 Mei), pasangan diraja akan berangkat menziarahi Batu Peringatan Sultan Mansur Shah I, Sultan Perak kedua, di Masjid Kota Lama Kanan, di sini.

Difahamkan Sultan Mansur Shah I telah ghaib ketika bersembahyang Jumaat di masjid itu dan disangka telah mangkat oleh penduduk setempat.

Baginda tidak mempunyai makam melainkan batu peringatan yang merupakan tanda yang diletak di dalam masjid tersebut bagi memperingati baginda.

Lokasi seterusnya ialah makam Sultan Ali Al Mukammal Inayat Shah, Sultan Perak ke-24 di Gedong Siam, Sayong dan kemudiannya berangkat ke makam Sultan Yusuf Sharifuddin Mudzafar Shah (Sultan ke-27) di Masjid Sayong Tengah.

Pada sebelah petang hari yang sama, Sultan Nazrin Shah dan Tuanku Zara menziarah makam Sultan Abdullah Muhammad Shah II (Sultan ke-26), makam Sultan Idris Murshidul’adzam Shah 1 (Sultan ke-28), makam Sultan Abdul Jalil Karamatullah Shah (Sultan ke-29), makam Sultan Iskandar Shah (Sultan ke-30), makam Sultan Abdul Aziz Almustasim Billah Shah (Sultan ke-31), makam Sultan Yussuff Izzuddin Shah (Sultan ke-32), makam Sultan Idris Iskandar Al-Mutawakkil Allahi Shah II (Sultan ke-33) dan makam Sultan Azlan Muhibbuddin Shah (Sultan ke-34).

Kesemua makam itu terletak di Makam Diraja Bukit Chandan atau lebih dikenali sebagai Makam Diraja Al-Ghufran yang terletak bersebelahan dengan Masjid Ubudiah.

Pada 11 Mei baginda berdua menziarah makam Sultan Tajul Ariffin iaitu Sultan Perak yang keempat di Pulau Semat, Manong dan kemudiannya ke makam Raja Sulong Ibni Sultan Ismail Mu’abidin Riayat Shah di Kampung Tepus Belanja.

Pada sebelah petangnya, pasangan diraja itu akan menziarah makam Sultan Mudzaffar Shah III (Sultan ke-13) di Kampung Selat, Bota dan makam Sultan Alauddin Shah (Sultan kelima) dan makam Sultan Ahmaddin Shah (Sultan ke-18) di Kampung Bota Kanan.

Seterusnya pada 12 Mei, Sultan Nazrin Shah dan Tuanku Zara menziarah makam Sultan Mudzaffar Shah II (Sultan ke-10) di Kampung Air Mati, Lambor Kanan, kemudian berangkat ke makam Sultan Mudzaffar Shah I (Sultan pertama) di Kampung Telok Bakong, Lambor Kanan dan makam Sultan Mahmud Shah (Sultan kelapan) serta makam Sultan Muhammad Shah (Sultan ke-14), kedua-duanya terletak di Kampung Melayu Pulau Tiga.

Pasangan diraja itu kemudiannya berangkat menziarah makam Sultan Mahmud Iskandar Shah (Sultan ke-11), makam Sultan Alaudin Mughayat (Riayat) Shah (Sultan ke-12) dan makam Sultan Ahmad Tajuddin Shah (Sultan ketiga) di Kampung Jawa, Mukim Pulau Tiga.

Baginda berdua juga menziarahi bekas makam Geronggong di Mukim Pulau Tiga, Kampung Gajah.

Seterusnya pada 13 Mei, di sebelah pagi baginda berdua menziarah makam Sultan Abdullah Mua’azzam Shah (Sultan ke-20) dan makam Sultan Ja’far Mua’azzam Shah (Sultan ke-23) di Kampung Pulau Juar.

Baginda berdua juga akan menziarah Batu Peringatan Raja Ahmad Waliullah (Raja Kecil Tengah) di Kampung Pulau Besar. Makam baginda tidak wujud kerana baginda dikatakan ghaib begitu sahaja.

Sultan Nazrin Shah dan Tuanku Zara akan menaiki Balai Gambang untuk menghilir Sungai Perak bermula di jeti Pasir Salak untuk menziarah lima makam yang kesemuanya terletak di pinggir Sungai Perak.

Makam-makam tersebut adalah makam Sultan Mahmud Shah (Sultan ke-16) di Kampung Pasir Pulai, makam Sultan Abdul Malik Mansur Shah (Sultan ke-19) di Kampung Bandar Baru, makam Sultan Alauddin Mansur Shah Iskandar Muda (Sultan ke-17) di Kampung Teluk Memali, makam Sultan Shahabuddin Riayat Shah (Sultan ke-12) di Tanjung Penangguh dan makam Sultan Iskandar Dzulkarnain (Sultan ke-15)di Pulau Indera Sakti Pasir Panjang Ulu.

Baginda berdua akan menaiki kereta dari jeti Kampung Terengganu, Teluk Intan menuju ke Kampung Durian Sebatang, Teluk Intan untuk menziarah makam Sultan Abdullah Muhammad Shah I (Sultan ke-22).

Di setiap lokasi makam, baginda dan Raja Permaisuri Perak akan turut mengadakan majlis tahlil, doa selamat dan kenduri arwah.

Pertabalan Sultan Perak Ke-35, yang merangkumi enam istiadat utama iaitu Meletak Kerja, Tabal Adat, Tabal Pusaka, Menziarah Makam-makam Diraja, Mencecah Kaki di Beting Beras Basah dan Menutup Kerja, menonjolkan keunikan serta kekayaan adat Kesultanan Melayu Perak yang diwarisi sejak 1528.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda