Skip to main content
HomeViral

Apabila NGO Amat Payah Jumpa PM, Mereka Jumpa Tun Mahathir

By 6 Jun 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Aimi Huwaina

KUALA LUMPUR, 6 Jun (Malaysiaaktif) — Rata-rata Badan Bukan Kerajaan (NGO) kelmarin menyatakan rasa kecewa dengan pembatalan program dialog Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersama NGO’, ‘Nothing2Hide.’

Bagaimana pun, Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), Mohd Ridzuan Abdullah berkata, IKHLAS tidak menyalahkan Najib sepenuhnya di atas pembatalan program tersebut.

Beliau berkata, semua NGO kecewa dengan tindakan itu, tetapi kekecewaan tidak bererti mereka tidak menyokong (kerajaan).

Menurut Mohd Ridzuan, program tersebut merupakan peluang terbaik untuk Najib memberikan penjelasan kepada NGO mengenai isu-isu semasa.

“Sehingga hari ini, kita tidak dapat berjumpa Perdana Menteri. Sudah 20 kali utus surat, tak pernah dapat jumpa, sedangkan dari dulu sehingga hari ini pertubuhan Ikhlas menyokong yang amat berhormat Perdana Menteri,” katanya.

Mohd Ridzuan berkata mereka bertindak untuk menemui bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di PWTC bagi menyuarakan kebimbangan kedudukan sokongan NGO terhadap kerajaan.

Sebagai pandangan peribadi, beliau menganggap Tun Mahathir sebagai penyelamat kerana selama ini banyak NGO tidak dapat berjumpa dengan Perdana Menteri.

Disebabkan situasi ini beliau berkata mereka memutuskan untuk berjumpa Tun Mahathir dan Tun menasihati mereka supaya menyokong kerajaan yang sedia ada.

Mengenai pembatalan program dialog itu oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, Mohd Ridzuan hanya berkata bangunan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) adalah milik UMNO dan Barisan Nasional (BN), tanpa menjelaskan lebih lanjut.

Mengulas kemungkinan diadakan program yang sama di masa akan datang, Mohd Ridzuan berkata IKHLAS akan hadir sekiranya dijemput, kerana semua NGO mahu berjumpa dan berbincang dengan Perdana Menteri bagi menyelesaikan masalah sekarang.

 

 

Tinggalkan komen anda