Skip to main content
HomeViral

Banjir Kilat: 28 Penduduk Dipindahkan Di Kota Belud

By 17 Jun 2015Tiada komen1 minit bacaan

 

KOTA KINABALU, 17 Jun — Hujan lebat yang turun semalamam menyebabkan banjir kilat berlaku di beberapa kawasan di Kota Belud malam Selasa.

Pegawai Daerah Kota Belud, Abdul Gari Itam berkata seramai 28 orang dari Kampung Gunding dan Kampung Linau dipindahkan ke Dewan Tun Said Kota Belud berikutan air sungai berada di paras waspada iaitu 4.4 meter.

Beliau yang dihubungi Bernama berkata, sehingga pagi ini, pemantauan terus dilakukan dari semasa ke semasa untuk memastikan keselamatan penduduk terjamin.

Sementara itu, Pegawai Daerah Ranau Faimin Kamin berkata setakat pagi ini seramai 381 orang daripada 89 keluarga dari Kampung Kirambang/Kampung Liwagu telah dipindahkan ke pusat pemindahan di Dewan Masyarakat Ranau.

“Penduduk dinasihatkan berpindah sementara waktu kerana dikhuatiri membahayakan keselamatan sekiranya masih tinggal di kawasan rumah mereka,” katanya.

Penduduk berhampiran empangan Kampung Kirambang/Kampung Liwagu juga dinasihatkan untuk berpindah buat sementara waktu ke Dewan Masyarakat Ranau memandangkan empangan berkenaan telah dipenuhi dengan kayu balak akibat bawaan banjir lumpur pada Isnin lalu.

Katanya, pihaknya serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia mengeluarkan nasihat itu kerana dikhuatiri air empangan akan melimpah ke kawasan berhampiran.

Pengarah Metereologi Sabah Abdul Malik Tusin berkata orang ramai dinasihatkan supaya bersedia untuk menghadapi hujan lebat di sebelah petang dan malam yang dijangka berterusan sehingga Ahad.

“Manakala hujan sebelah pagi di kawasan pantai di barat Sabah dijangka sehingga Sabtu ini,” katanya.

— Bernama

Tinggalkan komen anda