
RANAU, SABAH, 5 Jun ( Malaysiaaktif) — Gempa bumi magnitud 6 dilaporkan terasa di Sabah sebentar tadi.
Hasil pemantauan Perkhidmatan Geologikal Amerika Syarikat (USGS) menyebut lokasi gempa bumi dikesan pada kedalaman bumi kira-kira 10km.
Menurut Ketua Polis Daerah Ranau, DSP Moihd Farhan Lee Abdullah, kerosakan juga berlaku di bangunan Ibu Pejabat Polis Ranau, termasuk kebocoran paip tangki air. Jabatan Bomba dan Penyelamat kini sedang melakukan pemeriksaan bangunan berkenaan.
Sementara itu, laporan ringkas terbaharu yang diterima Malaysiaaktif, gegaran menyebabkan kerosakan ketara di pekan Ranau hingga memecahkan dinding kaca pusat ATM sebuah bank.
Juga, di beberapa buah kedai barangan jualan berselerakan terjatuh, dinding beberapa buah bangunan turut retak dan jalan raya juga mengalami keretakan teruk.
Orang ramai di premis pejabat, kedai dan kediaman lari keluar berkumpul di kawasan lapang untuk menyelamatkan diri.
Selain Ranau, Kota Kinabalu, Kudat, Kota Marudu hingga Beaufort di selatan turut mengalami gegaran.
Di Kota Kinabalu bangunan bergoncang dan tingkap bergegar kuat, termasuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.
Kerosakan belum dapat dianggarkan setakat ini.
–Menyusul