
KOTA KINABALAU, 13 Jun (Malaysiaaktif) – Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Musa Aman menasihatkan penduduk Sabah supaya jangan berasa panik berikutan gegaran gempa bumi yang masih berlaku di beberapa kawasan di negeri itu.
Beliau, bagaimana pun, mengingatkan penduduk supaya sentiasa berhati-hati dan berwaspada dalam menghadapi apa jua kemungkinan.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Musa juga meminta supaya orang ramai lebih bertanggungjawab dan tidak menyebarkan berita atau gambar gempa bumi yang tiada berkaitan dengan negeri Sabah.
Tambah beliau lagi, dalam menghadapi keadaan sekarang ini, penduduk Sabah perlu saling bekerjasama dan membantu ke arah perkara positif.
Beliau seterusnya menasihatkan orang ramai supaya jangan menimbulkan kebimbangan dan melemparkan kritikan tidak berasas mengenai perkara ini.