Skip to main content
HomeViral

Kilang Proses Ayam Kuala Kedah Diserbu, Tiada Sijil Halal

By 11 Jun 2015Tiada komen1 minit bacaan

 

ALOR SETAR, 11 Jun — Jabatan Imigresen Kedah menahan 22 pendatang asing tanpa izin pelbagai warganegara dan seorang warga tempatan dalam ‘Ops Mahir’ di sebuah kilang memproses ayam di Kuala Kedah, semalam.

Pengarahnya Mohamad Yusri Hashim berkata dalam operasi pada pukul 7.40 pagi itu, pihaknya menahan 19 lelaki dan dua wanita warga Thailand serta seorang wanita Indonesia yang berusia antara 15 hingga 30 tahun.

“Kita telah menjalankan pemeriksaan ke atas 22 pendatang asing pelbagai warganegara dan 19 warga tempatan. Selain itu kita turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun yang mengaku sebagai majikan kepada kesemua pendatang asing,” katanya dalam kenyataan di sini Khamis.

Kesemua mereka ditahan atas kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Per. 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 manakala lelaki warga tempatan ditahan mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 kerana melindungi pendatang tanpa izin.

Mohamad Yusri berkata pihaknya juga mendapati kilang tersebut tidak mempunyai Sijil Perakuan Halal dan Sembelihan yang sah daripada Jabatan Agama Islam Negeri Kedah (JAIK).

“Kita sudah memanjangkan perkara ini kepada pihak JAIK untuk mengambil tindakan terhadap kilang tersebut,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda