Skip to main content
Home

Bukan Pilihan Tapi Alia Sazana Sumbang Emas

By 11 Jun 2015Tiada komen1 minit bacaan

 

SINGAPURA, 11 Jun — Walaupun bukan menjadi pilihan, namun atlet menembak Alia Sazana Azahari berjaya membidik emas dalam acara 25m pistol wanita pada Sukan SEA ke-28 di sini.

Alia Sazana, 23, mengejutkan pencabarnya Teh Xiu Hong dari Singapura dengan bidikan 7-1 di Pusat Menembak Singapura hari ini.

Atlet berasal dari Kuala Terengganu ini berpegang teguh dengan pendirian ‘pantang menyerah sebelum kalah’ bagi membuktikan dia layak digelar pembidik tepat negara.

“Sewaktu pusingan kelayakan, saya banyak melakukan kesilapan tetapi apabila berjaya melangkah ke final, saya mula rasa tertekan tetapi saya positif untuk menang.

“Saya ketepikan semua perkara dan tumpukan terhadap tembakan saya sahaja. Saya selalu pegang dengan kata-kata ‘cuba selagi permainan belum tamat’ dan akhirnya saya berjaya,” katanya.

Kejayaan Alia Sazana juga mendapat sokongan kuat skuad menembak negara dengan laungan ‘chillis burger’ kepadanya ketika aksi final tadi.

“Saya menang burger percuma kerana ini adalah pertaruhan saya dengan kawan-kawan. Lagi pun ini adalah cara terbaik untuk mengurangkan tekanan kepada saya,” katanya.

Pingat gangsa dalam acara 25m Pistol perseorangan wanita dimenangi penembak Vietnam, Thi Le Hoang Ngoc yang menewaskan Hirunphoem Kanyakorn dari Thailand.

Dalam acara 50m Pistol individu lelaki, pingat emas menjadi milik wakil Vietnam, Hoang Xuan Vinh dengan mata bidikan tertinggi 190.9 dan Auapinyakul Natphanlert dari Thailand memenangi perak dengan 186.0 mata.

Wakil negara Johnathan Wong, 22, dengan pungutan markah keseluruhan 165.3 mata sekadar membidik pingat gangsa.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda