Skip to main content
HomeViral

Sinergi Anggota JBPM dan Malim Gunung di Kinabalu Diperjelaskan

By 16 Jun 2015Tiada komen2 minit bacaan
Oleh Aimi Huwaina dan Diyana Zamri

KUALA LUMPUR, 16 Jun (Malaysiaaktif) — Persepsi negatif terhadap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dalam  operasi mencari dan menyelamat (SAR) harus diperbaiki.

Menurut Ketua Pengarah JBPM, Datuk Wira Hj. Wan Mohd Nor Ibrahim, walaupun  tanggungjawab mereka untuk membantu orang ramai, namun keselamatan anggota tidak boleh diabaikan.

Mengenai tragedi di Gunung Kinabalu, beliau berkata pasukan penyelamat yang diketuai JBPM dengan kerjasama malim gunung ada membuat pergerakan, tetapi dalam keadaan berhati-hati kerana gempa bumi telah menyukarkan laluan untuk usaha mencari dan menyelamat.

Sementara itu, Pengarah JBPM Sabah, Nordin Pauzi menegaskan tidak timbul isu kelewatan JBPM dalam memberi bantuan waktu itu.

Beliau berkata ini kerana pada peringkat pertama, tugas untuk menurunkan dan menyelamat mangsa terperangkap pada masa kejadian adalah peranan malim gunung.

Menurut beliau, selain berperanan sebagai malim gunung yang berkepakaran tinggi dan mengetahui selok-belok Gunung Kinabalu, mereka juga perlu mengawal keselamatan pendaki di bawah seliaan mereka, manakala peranan pasukan penyelamat adalah di tahap yang kedua.

Menyentuh soal kesiapsiagaan JBPM menghadapi bencana di masa hadapan, Datuk Wira berkata pihaknya akan memantapkan pasukan dan operasi dari pelbagai aspek.

Beliau berkata, JBPM positif dengan cadangan untuk menyerap malim gunung ke dalam pasukan penyelamat dan memberikan latihan sewajarnya.

Ini, kata beliau lagi, akan membantu memendekkan masa menyelamat kerana malim gunung merupakan responden pertama ketika bencana.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di sini.

Sejumlah 365 pingat kebesaran dianugerahkan sebagai penghargaan kepada anggota yang telah berkhidmat melebihi 10 tahun.

 

20150615233918

 

Tinggalkan komen anda