Skip to main content
HomeViral

Empat Menteri, Seorang Timbalan Menteri Digugurkan

By 28 Julai 2015Tiada komen1 minit bacaan


Oleh Syed Hisham Syed Hilmi

PUTRAJAYA, 28 Julai (Malaysiaaktif)  – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan rombakan kabinet yang menyaksikan pelantikan tujuh menteri persekutuan dan sembilan timbalan menteri persekutuan yang berkuat kuasa 29 Julai 2015.

Tan Sri Muhyiddin Yassin digugurkan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan tempatnya diambil alih oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Najib, rombakan kabinet ini dibuat untuk memperkukuhkan lagi barisan Jemaah menteri dalam menghadapi cabaran menguruskan negara sebelum pilihan raya umum ke-14.

Beliau berkata rombakan ini dibuat setelah mengambil kira pertimbangan politik dan kepentingan pentadbiran negara.

Najib meyakini senarai kabinet baharu ini dapat meneruskan hasrat Kerajaan dalam menjayakan segala perancangan yang telah dijanjikan dan meningkatkan keyakinan serta sokongan rakyat kepada Kerajaan Barisan Nasional.

Dalam perkembangan sama, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong atas perkenan melantik dirinya sebagai Timbalan Perdana Menteri dalam siding media selepas pengumuman rombakan kabinet di Putrajaya.

“Ini bukanlah habuan yang diberikan kepada saya tetapi lebih kepada tanggungjawab untuk membangunkan Negara, Bangsa Melayu dan Bangsa Malaysia,” kata beliau ketika mengulas pelantikannya sebagai timbalan baharu Perdana Menteri.

Yang di-Pertuan Agong juga telah memperkenankan pelantikan Senator Datuk Seri Panglima Dr. Mohd Salleh Said Keruak sebagai Ahli Dewan Negara dan beliau akan mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara dalam masa terdekat.

 

Tinggalkan komen anda