
Oleh Sukma Azura Che Ahmad
SEMENYIH, 6 Julai (Malaysiaaktif) – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Ahad berbuka puasa bersama lebih 3, 000 orang penduduk di Masjid Bandar Rinching, Semenyih.
Pada majlis itu Najib turut menyampaikan sumbangan kepada 22 buah sekolah maahad tahfiz di seluruh Selangor termasuk kepada 100 orang asnaf.
Antara sekolah yang menerima sumbangan termasuk Maahad Tahfiz Al-Itqaan, Maahad Tahfiz Al-Islah, Madrasah Burul Ilmi dan Darul Tahfiz Ummul Qura.
Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor kemudian menunaikan solat maghrib berjemaah bersama hadirin.
Dalam ucapannya, Najib berkata lawatan beliau untuk melihat dengan lebih dekat perkembangan di DUN Semenyih, selain mengukuhkan silaturahim dengan penduduk.
Menyentuh isu semasa yang membabitkan kawasan tersebut, Najib berkata kerajaan pusat prihatin dengan isu air yang dialami penduduk Selangor.
Ke arah meringankan masalah penduduk negeri, Najib berkata kerajaan pusat telah menyediakan sebanyak RM2 bilion dengan harapan kerajaan negeri dapat memberikan kerjasama dalam usaha melaksanakan dengan segera projek pemulihan air demi kesejahteraan rakyat.
Sebelum itu, Perdana Menteri membuat tinjauan projek jalan susur masuk Ecohill dan Bazar Ramadan Bandar Tasik Kesuma.
Selesai berbuka puasa di Masjid Bandar Rinching, Najib dan isteri ke Masjid Raja Muda Musa di pekan Semenyih untuk solat Isyak dan solat sunat tarawih.
Beliau juga menyampaikan sumbangan kepada 150 asnaf.