Skip to main content
HomeViral

Tanam Pokok Ganja Dalam Pasu: Dua Ditahan

By 2 Julai 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

SEREMBAN, 2 Julai — Polis menahan dua lelaki dalam serbuan di sebuah rumah di Sikamat dekat sini, semalam dan menemui lima pokok dipercayai ganja setinggi 11 sentimeter hingga dua meter ditanam di dalam pasu bunga.

Ketua Polis Negeri Sembilan DCP Datuk Jaafar Mohd. Yusof berkata dalam serbuan pukul 11.15 pagi itu, polis turut merampas tiga paket plastik berisi daun kering disyaki dadah jenis ganja seberat 4.6 gram dan sebuah bekas berisi tumbuhan kering disyaki daun ganja seberat 45.65 gram.

“Dalam pemeriksaan itu, lima pokok dipercayai ganja yang ditanam dalam lima pasu bunga berasingan didapati diletakkan di luar kawasan rumah. Dua suspek yang ditahan itu berumur 30-an dan hubungan mereka adalah kawan.

“Siasatan mendapati seorang daripada suspek itu mempunyai empat rekod kesalahan lampau dalam kes dadah. Kedua-dua suspek ditahan reman selama enam hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya pada sidang media di sini Khamis.

Turut hadir Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Supt Ayub Salim.

Jaafar berkata dalam tempoh 10 hari mulai 21 Jun lepas, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Negeri Sembilan berjaya merampas 13 batang pokok disyaki pokok ganja dalam dua operasi dengan anggaran nilai rampasan RM16,000.

Sementara itu, katanya, bagi tempoh Januari hingga Jun lepas, jumlah kes dadah di negeri ini adalah sebanyak 3,304 kes dan tangkapan sebanyak 4,333 orang dengan nilai rampasan pelbagai jenis dadah berjumlah RM498,000.

“Bagi tempoh yang sama tahun lepas, jumlah kes adalah sebanyak 3,004 melibatkan tangkapan 3,436 orang dengan nilai rampasan pelbagai jenis dadah berjumlah RM11 juta.

“Kami mendapati kegiatan dadah di negeri ini tertumpu di kawasan Felda dan pelbagai jenis dadah ini datang dari luar Negeri Sembilan dengan 60 peratus penglibatan ahli kongsi gelap,” katanya.

Katanya selain hasil maklumat orang ramai, kejayaan ini juga menunjukkan peningkatan usaha pihak polis yang sentiasa mempergiat operasi atas segala kegiatan dan aktiviti dadah.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda