
KUALA LUMPUR, 2 Julai — Sempena sambutan Aidilfitri, pihak Pengurusan Divisyen Tol IJM, pengendali syarikat konsesi Lebuhraya Baru Pantai (NPE) akan memberi diskaun tol sebanyak 20 peratus pada 17 Julai ini.
Menurut Ketua Pegawai Operasi Divisyen Tol IJM, Wan Salwani Wan Yusoff, pemberian diskaun tol bermula 12.01 pagi hingga 12 malam pada hari berkenaan.
“Pemberian diskaun tol ini mungkin nampak tidak besar dari segi jumlahnya tetapi ia dapat mengurangkan beban pengguna yang menyambut Hari Raya di pusat bandaraya KL untuk menziarahi sanak saudara mereka,” katanya dalam kenyataan, pada Khamis.
Wan Salwani berkata pihaknya menyarankan kepada pengguna untuk menggunakan Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) dan Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) untuk ke selatan manakala bagi mereka ingin ke timur, pengguna boleh menggunakan Besraya melalui persimpangan Kuchai Lama untuk ke Plaza Tol Loke Yew menuju ke MRR2.
“Kami turut menyediakan maklumat trafik terkini di semua ‘Variable Message System’ (VMS) sepanjang lebuh raya kami atau anda boleh mengikuti kami di Twitter untuk merancang perjalanan anda,” katanya.
— BERNAMA