Skip to main content
Rencana & Pendapat

Tindakan Undang-Undang Jalan Terbaik Bersihkan Imej Najib

By 9 Julai 2015Tiada komen3 minit bacaan

 

Oleh Mohd Ayop Abd Razid

Dakwaan The Wall Street Journal (WSJ) melalui artikel yang disiarkannya pada 2 dan 6 Julai lalu bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah menyelewengkan hampir US$700 juta daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) boleh memberi kesan negatif kepada imej negara.

Sekiranya dakwaan yang dibuat itu dibiarkan begitu sahaja maka spekulasi terhadap dakwaan itu akan berterusan dan ia boleh menyebabkan dunia luar hilang keyakinan terhadap integriti kerajaan yang dipimpin Najib.

Ini bermakna ujian yang dihadapi Perdana Menteri itu adalah juga ujian buat negara. Justeru, langkah paling afdal ialah Najib perlu bertindak dengan menggunakan saluran undang-undang terhadap WSJ.

Najib sudah pun memulakannya.  Melalui Tetuan Hafarizam Wan (amp) Aisha Mubarak, syarikat guaman yang mewakili Najib itu telah menghantar surat kepada Dow Jones, penerbit WSJ pada 8 Julai lalu untuk meminta pengesahan berkaitan dakwaannya itu.

Menurut para peguam itu,  artikel-artikel terbabit mengandungi pelbagai tuduhan yang kabur, berbelit dan ofensif terhadap anak guam mereka yang boleh mencetuskan tanggapan jelas bahawa Najib (anak guam) telah menyelewengkan dana milik 1MDB.

Sebagai rakyat yang cintakan negara, sudah pasti kita bimbang adanya niat jahat untuk menjatuhkan  kepimpinan  negara melalui tuduhan yang dilemparkan oleh media luar negara itu.

Sebelum ini, Najib mendakwa bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad merupakan individu di sebalik pembohongan yang dibuat termasuk oleh Sarawak Report.

 Menurut Najib, tuduhan tidak berasas itu dibuat kerana keengganan beliau untuk tunduk kepada kehendak mantan perdana menteri itu supaya pentadbiran Malaysia dilihat sebagai proksi.

Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din menganggap laporan itu tidak berasas. Beliau menyifatkan dakwaan WSJ itu tidak logik dan menggesa siasatan dilakukan terlebih dulu.

Menurut beliau, jika seseorang individu hendak mengambil dana awam untuk tujuan tertentu, dia akan menggunakan akaun sulit dan bukannya menerusi akaun peribadi. Beliau berpendapat laporan tidak berasas itu mesti disiasat kebenarannya.

Dakwaan WSJ itu bukan sahaja  boleh menjejaskan kredibiliti dan integriti Najib sebagai Ketua Kerajaan tetapi ia juga boleh memberi imej buruk kepada negara serta boleh menjejaskan ekonomi negara disebabkan pelabur boleh hilang keyakinan terhadap integriti negara ini.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan di akaun Facebook menyelar tindakan beberapa individu yang menjejaskan keyakinan terhadap ekonomi, memburukkan nama baik kerajaan dan menjatuhkan perdana menteri yang dipilih secara demokrasi.

Kenyataan itu menyebut dakwaan tidak berasas itu merupakan sabotaj politik berterusan bertujuan memperdaya pihak media dan orang ramai dengan menggunakan dokumen yang telah dipinda.

Apa pun, dalam kes tuduhan yang dibuat oleh WSJ, tindakan paling afdal untuk berhadapan dengan fitnah itu ialah Najib perlu komited mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak terbabit .

Sementara itu, tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara menyiasat secara terperinci, telus dan bebas segala tuduhan yang dibuat terhadap Najib juga akan dapat menentukan kebenarannya.

Dalam tindakan itu, Pejabat Peguam Negara telah mengeluarkan perintah pembekuan enam akaun yang  tidak melibatkan mana-mana akaun milik Perdana Menteri.

Kini semua pihak menantikan keputusan siasatan itu dan juga menantikan tindakan selanjutnya ke atas WSJ.

_______________________________________

Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mencermin dasar Malaysiaaktif

Tinggalkan komen anda