
KUALA LUMPUR, 30 Ogos (Malaysiaaktif) — Peserta pehimpunan Bersih 4 pada petang hari pertama tunjuk perasaan itu mendapat kejutan apabila bekas Perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tiba pada kira-kira pukul 7.25 malam.
Tun yang bersama isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali tiba berhampiran Dataran Merdeka seperti biasa bersalaman dengan orang ramai, termasuk peserta perhimpunan yang berasak untuk mendekati beliau.
Beliau tidak bercakap kepada media dan meninggalkan lokasi kira-kira 30 minit kemudian.
Sebelum itu, Tun memaklumkan kepada ahli UMNO Johor bahawa beliau masih belum membuat keputusan untuk menghadiri demonstrasi itu.
Kemunculan beliau di perhimpunan itu mencetuskan pelbagai reaksi, termasuk di media sosial.
Ada yang menyatakan rasa kesal kerana menganggap kehadiran Tun di perhimpunan itu sebagai memberikan sokongan kepada kumpulan Bersih dan pembangkang.
Namun demikian, bagi yang masih menghormati dan setia kepada pemimpin veteran itu, apa yang berlaku tidak sedikit pun mengurangkan rasa hormat dan sokongan terhadap kaliber beliau sebagai tokoh negara.
Juga semalam, apabila ditanya sama ada beliau akan turun untuk bersama peserta perhimpunan dan kemungkinan timbul tanggapan negatif terhadap beliau, Tun berkata, “Saya bukan menyokong Bersih, tetapi saya menyokong rakyat.”
Sementara itu, tidak kurang juga yang melahirkan rasa kesal di atas tindakan beliau memandangkan perhimpunan Bersih 4 itu telah diisytiharkan sebagai haram oleh pihak polis berikutan apa yang didakwa sebagai kegagalan memenuhi syarat yang ditentukan di bawah Akta 736 , Akta Perhimpunan Aman 2010.