Skip to main content
HomeViral

Spesies Badak Sumatera Mungkin Sudah Pupus Di Hutan Malaysia

By 21 Ogos 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

KUALA LUMPUR, 21 Ogos — Jurnal antarabangsa Oryx mendedahkan bahawa selain dua ekor badak yang berjaya ditangkap pada 2011 dan 2014, tidak ada sebarang tanda menunjukkan bahawa haiwan itu masih wujud dalam hutan di Malaysia, walaupun pelbagai usaha dilancarkan untuk mengesan spesies tersebut.

Menurut laporan itu, sehingga Jun 2015, tidak ada sebarang tanda spesies Badak Sumatera ditemui di Sabah, dan keadaan ini merujuk kepada tanggapan bahawa spesies ini telah pupus dalam hutan Malaysia.

Kini hanya terdapat tiga ekor Badak Sumatera dalam kurungan di Malaysia, semuanya di negeri Sabah. Penemuan terakhir badak ini di Semenanjung adalah pada 2007.

Di Indonesia pula, kurang daripada 100 ekor badak wujud di Kalimantan dan Sumatera.

Pengarah Borneo Rhino Alliance Datuk Dr Junaidi Payne berkata spesies Badak Sumatera ini telah ditakdirkan pupus kerana kekurangan pembiakan, selain diburu secara haram.

Beliau berkata setiap badak yang masih hidup hari ini perlu diuruskan dengan teliti, termasuk pelbagai inisiatif yang diusahakan bersama negara-negara serantau.

Dr Payne berkata pihaknya sedang bekerjasama dengan kerajaan negeri Sabah untuk mencari jalan supaya badak betina dapat menjalani proses permanian beradas.

Sebelum ini beliau membayangkan jika tiada tindakan diambil menjelang 2017, spesies Badak Sumatera boleh disahkan sebagai sudah pupus langsung.

Badak Sumatera adalah spesies badak yang terakhir masih hidup di Malaysia. Spesies Badak Jawa telah lama pupus di sini, dengan penemuan terakhir di Malaya pada 1932, apabila seekor dibunuh pemburu.

Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen.

 

 

Tinggalkan komen anda