Skip to main content
HomeViral

Polis Nasihat Penganjur Bersih 4.0 Batal Niat Berhimpun

By 21 Ogos 2015Tiada komen1 minit bacaan

 

Oleh: Faris Fuad

KUCHING, 21 Ogos (Malaysiaaktif) –Kerajaan Negeri dan Dewan Bandaraya Kucing Utara (DBKU) menasihati penganjur Bersih 4.0 supaya membatalkan niat mereka untuk berhimpun di Padang Merdeka di sini kerana ia sedang dalam proses baik pulih.

Namun begitu, Ketua Polis Daerah Kuching ACP Roslan Bek Ahmad berkata demonstrasi tersebut boleh diadakan dengan syarat di tempat yang mendapat kebenaran pemilik serta mematuhi undang-undang yang ditetapkan.

“Pihak kami akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang ingkar dan ingin meneruskan perhimpunan di Padang Merdeka itu,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Polis Daerah Kuching di Padang Kawad Balai Polis Tabuan Jaya, hari ini.

Roslan turut memberi amaran kepada pihak yang masih berdegil bahawa jika ditangkap dan didapati bersalah, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000.

“Nasihat saya kepada penduduk Kuching atau Sarawak yang ingin hadir (perhimpunan) kalau tahu bahawa perhimpunan akan dianjurkan di Padang Merdeka, jangan pergi atau hadir.

“Peserta yang melanggar syarat di bawah Seksyen 15 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000,” katanya lagi

Polis menyarankan penganjur supaya mengadakan perhimpunan di lokasi lain, iaitu di Padang Song Kheng ataupun di stadium lain yang sesuai untuk mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini berlaku.

 

 

Tinggalkan komen anda