
KEPALA BATAS, 19 Ogos (Malaysiaaktif) — Suasana pilu menyelubungi kediaman mangsa serangan bom Bangkok di Kampung Selamat pagi ini apabila Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican meluangkan masa menziarahi keluarga yang terlibat.
Reezal yang juga merupakan Ahli Parlimen Kepala Batas bersimpati di atas apa yang berlaku. Beliau memaklumkan bahawa empat mayat rakyat Malaysia yang maut dalam kejadian itu dijangka tiba di Lapangan Terbang Pulau Pinang, malam ini.
Mengimbas kejadian yang berlaku, lima daripada tujuh sekeluarga yang sedang dalam percutian di sana terkorban dalam letupan bom berdekatan Kuil Erawan, Bangkok malam kelmarin.
Letupan tersebut menyebabkan 20 orang terbunuh dan 123 lagi cedera di satu persimpangan utama di bandar raya tersebut.
Empat warga Malaysia yang dilaporkan terkorban dalam insiden itu ialah Lim Saw Gek, 49; anak lelakinya, Neoh Jai Jun, 20; menantunya, Lee Tze Siang, 35 dan cucunya, Lee Jing Xuan, 4.
Seorang mangsa lagi, iaitu kakak Saw Gek, Lim Su See, 52, turut terkorban dan dikatakan menetap di Singapura.
Keluarga mangsa ketika ditemui enggan mengulas kerana masih terkejut di atas kejadian yang menimpa ahli keluarga mereka.