Skip to main content
HomeViral

Sukan Woodball Bakal Diperkenalkan di SIPMA 2015

By 20 Ogos 2015Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

Oleh Syed Fauzi Syd Mostapa

PUTRAJAYA, 20 Ogos (Malaysiaaktif) – Sebanyak 276 pingat akan dipertandingkan dalam Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (SIPMA)  ke-6 yang bakal berlangsung 21 hingga 27 November 2015 di Perlis.

Para atlet akan bertanding dalam tujuh acara sukan, termasuk olahraga, renang, Tenpin boling, badminton, skuasy, bola sepak dan hoki.

Acara anjuran Jabatan Pendidikan Kolej Komuniti (JPKK) ini menyaksikan penyertaan tujuh kontinjen yang terdiri daripada Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM), Majlis Sukan Institut Pendidikan Guru Malaysia (MSIPGM), Majlis Sukan Matrikulasi Malaysia (MSMM), Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM), Majlis Sukan Politeknik Malaysia (MSPM), Majlis Sukan Kolej Komuniti Malaysia (MASKOM) dan Majlis Sukan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (MASISWA).

Menurut Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Mary Yap Kain Ching, atas titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Syed Sirajuddin Jamalullail, sukan Woodball akan diperkenalkan sebagai acara tambahan kepada atlet sempena penganjuran SIPMA ini.

Tambahnya, SIPMA ialah satu platform yang disediakan sebagai medan bagi para pelajar bukan sahaja untuk memupuk minat mereka tetapi menunjukkan bakat yang boleh diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

Bertemakan “SIPMA PENCETUS ATLET BERPOTENSI”, beliau berharap para pelajar bukan sekadar dapat memenuhi keperluan tenaga kerja tetapi juga berupaya sebagai pelapis yang mengisi kelompangan bakat sukan negara.

Beliau hadir bagi merasmikan program Pra Pelancaran SIPMA ke-6 2015 di Presint 5 Putarajaya petang kelmarin.

Majlis penutup akan disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh di Stadium Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) pada 27 November 2015.

Tinggalkan komen anda