Skip to main content
HomeViral

Tun M: Sukar Dapat Undi Tidak Percaya Terhadap Najib

By 18 Ogos 2015Tiada komen1 minit bacaan

 

PETALING JAYA, 18 Ogos — Langkah untuk menyingkirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi undi tidak percaya di Parlimen tidak akan berjaya, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, wakil rakyat pembangkang mahupun Barisan Nasional (BN) gagal untuk mendapatkan majoriti mudah bagi membolehkan kedudukan Najib digugurkan.

“Pendapat awam masih kukuh mahu Najib meletak jawatan sebagai perdana menteri. Akibatnya timbul cakap-cakap tentang perbentangan usul undi tidak percaya terhadap beliau di Parlimen.

“Ini adalah sangat sukar kerana hampir semua ahli Umno seolah-olah terhutang budi kepadanya. Sementara pembangkang tidak mempunyai ahli yang mencukupi untuk meluluskan usul itu,” katanya menerusi posting terbaharu di blog chedet.cc.

Ramalan bekas perdana menteri paling lama berkhidmat itu dibuat selepas timbul kekecohan kononnya terdapat 20 wakil rakyat BN yang didalangi seorang tokoh Umno mengatur gerakan menggulingkan kerajaan melalui cara undi tidak percaya di Parlimen dengan sokongan wakil rakyat pembangkang.

Berita mengenai konspirasi berkenaan pertama kali didedahkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Ampang pada Ahad lalu.

Beliau berkata, rancangan itu dijalankan dengan cara untuk mendapatkan akuan bersumpah daripada ahli Parlimen pembangkang, serta cuba menarik ahli Parlimen BN menyokong mereka bagi menumbangkan kerajaan sedia ada melalui ‘jalan belakang’.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, beliau mendapat maklumat itu daripada sumber yang sangat boleh dipercayai.

 

– MStar/ chedet.cc 

Tinggalkan komen anda