
Oleh: Faris Fuad
KOTA KINABALU, 24 Ogos (Malaysiaaktif) – Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Yahya Hussin menyeru orang ramai supaya mengetepikan kepentingan politik untuk menyemarakkan semangat sambutan Hari Kemerdekaan selari dengan tema tahun ini “Sehati Sejiwa”
Beliau berpendapat perbezaan fahaman politik tidak seharusnya menjadi penghalang kepada sambutan yang meriah bagi memperingati jasa pejuang dan tokoh negara
“Walaupun berbeza dalam banyak perkara, tetapi dalam meraikan kemerdekaan ini, kita mesti ‘satu’ hati dan jiwa kerana kemerdekaan itu hanya ‘satu’, ” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan pelancaran Kembara Merdeka Jalur Gemilang peringkat Daerah Putatan 2015 di sini, hari ini.
“Kita tidak merdeka berulang kali, hanya sekali dan ini perlu dipertahankan setiap saat.”
Yahya juga menyelar tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang dilihat tidak sehati dan sejiwa apabila menggunakan tema berbeza untuk meraikan Hari Kebangsaan
Dalam pada itu, beliau menyokong penuh cadangan kerajaan untuk menyelia penggunaan Internet.
“Cadangan yang dikemukakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak itu penting bagi menangani serangan jahat dan tohmahan fitnah yang dilemparkan kepada kerajaan sedia ada dan para pemimpin, menerusi media sosial di negara ini”
“Meskipun kemerdekaan itu bererti bebas bergerak dan bersuara namun perlu diingatkan bahawa kebebasan mesti ada hadnya”
“Jangan sesekali salah erti dan salah guna kebebasan itu supaya tidak bercanggah dengan undang-undang negara”
Beliau juga turut menyeru Multimedia Malaysia (MCMC) dan pihak terbabit supaya menjalankan tugas dalam memantau penggunaan media sosial bagi mengelakkan penyalahgunaan berlaku
“Kesemua kemudahan sosial, termasuk Facebook, Twitter dan Whatsapp tidak dinafikan banyak memberikan kebaikan namun jika tidak terkawal boleh mendatangkan keburukan seterusnya membahayakan negara dan rakyat”