Skip to main content
EkonomiHomeViral

Kempen Turun Harga, Beli Barangan Buatan Malaysia

By 5 September 2015Tiada komen2 minit bacaan
Oleh Dila Khamde

PUTRAJAYA, 5 Sept (MalaysiaAktif) – “Bukan hanya dengan mengibarkan bendera jalur gemilang, malah dengan membeli barangan buatan Malaysia juga dapat melambangkan semangat patriotisme, di samping membantu peniaga-peniaga”, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Hamzah Zainudin kelmarin.

Beliau berkata demikian ketika membuat lawatan ke pasaraya AEON Big, Alamanda, bersempena Kempen Penurunan Harga 2015 ( KPH 2015) dan juga Pra Kempen “Beli Barangan Buatan Malaysia”.

KPH 2015 yang dilancarkan serentak di seluruh negara pada 1 Mac 2015 lalu merupakan antara inisiatif berterusan KPDNKK membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat dan perbelanjaan barang harian pengguna, selain merancakkan perdangangan domestik.

Sehingga kelmarin, kempen ini telah disertai oleh 45 buah syarikat, iaitu The Store, Tesco, AEON Big, Giant, Mydin, TF Value Mart, UO Superstore, Econsave Cast & Carry, Pasar Raya Hock Kee Seng, serta 99 Speedmart Sdn Bhd.

Ia melibatkan sebanyak  490,250 produk di 2,132 cawangan pasar raya di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak.

Tahun ini,AEON Big melabur lebih RM300 juta melalui pelbagai promosi penurunan harga.

Sebanyak 2,500 jenis barangan ditawarkan dengan diskaun sehingga 70 peratus, termasuk barangan keperluan harian, seperti makanan basah dan kering, makanan bayi, lampin pakai buang, barangan elektrik.

Menurut Pengarah Eksekutif AEON Big, A Rashid Adam, “Kini pelanggan lebih berjimat cermat dan amat prihatin terhadap perbelanjaan harian mereka. Dengan kempen “Tetap Harga Rendah” kami, pelanggan dapat menikmati pengalaman membeli belah dengan lebih bermakna”

Turut hadir dalam lawatan ini Timbalan Menteri, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan Ketua Setiausaha, Datuk Seri Alias Ahmad.

Tinggalkan komen anda